KUALA LUMPUR – Tiada pengesahan diterima mengenai dakwaan rancangan pihak Filipina selatan untuk meceroboh dan seterusnya menakluki Sabah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani berkata, laporan media yang mendakwa sedemikian semalam merupakan maklumat yang telah dimanipulasi oleh pihak-pihak yang mencemburui tahap keselamatan serta hubungan rapat antara negeri Sabah dengan wilayah selatan Filipina.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah untuk menghadapi sebarang kemungkinan ancaman pencerobohan.
“Komitmen dalam perkara ini akan diberikan demi mengelak sebarang insiden pencerobohan berulang di Sabah…
“PDRM turut mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa Filipina dalam aspek perkongsian maklumat risikan mengenai sebarang aktiviti yang boleh mengancam hubungan akrab serta keselamatan kedua-dua negara,” katanya dalam sebuah kenyataan semalam.
Acryl berkata PDRM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di Sabah adalah terkawal dan elemen-elemen PDRM sentiasa dalam keadaan siap siaga pada setiap masa untuk menangani sebarang ancaman.
“Usaha juga akan digiatkan bagi mengesan dan mengenal pasti anasir-anasir di Sabah yang berkemungkinan terlibat dalam komplot berkenaan…
“Sebarang usaha untuk menggugat keselamatan dan kedaulatan negara oleh mana-mana pihak akan diambil tindakan tegas,” katanya.
Terdahulu, portal berita South China Morning Post (SCMP) melaporkan 19 datuk bandar (mayor) wilayah kepulauan Sulu, Filipina telah mengadakan pertemuan rahsia yang bertujuan untuk membincangan proses merekrut lebih 600 askar yang dipanggil sebagi “Tentera Diraja Sulu” untuk menceroboh Sabah.
Sumber SCMP mengatakan persidangan itu dipengerusikan oleh seorang pegawai kanan kerajaan Filipina.
Menurutnya, sekitar Februari 2022 dilihat sebagai “tarikh sesuai” untuk menyerang bagi “memperingati” pencerobohon Tanduo, Lahad Datu di Sabah lapan tahun yang lalu.
“Setiap mayor dijangka menyiapkan sekurang-kurangnya 50 askar yang berkemahiran dan berkeberanian tinggi di padang tempur…
“Kos senjata dan logistik akan ditanggung pegawai kanan tersebut yang turut menjanjikan dana sebanyak 500,000 pesos (RM 41,981) untuk 10 buah bot laju yang akan digunakan bagi menembusi perairan sempadan ke Sabah,” katanya.
Tambahnya lagi, sumber itu mengatakan pegawai terbabit dipercayai telah memberi 500 senjata api kepada wakil tempatan di Sulu untuk diagihkan kepada askar yang dilantik.
“Sumber itu mendakwa sehingga 200 pengintip akan digerakkan menembusi daerah Lahad Datu dan Semporna dengan membawa masuk senjata api berkenaan dan dikubur pada suatu lokasi sehingga ianya digali semula pada tarikh serangan yang ditetapkan,” katanya.
Namun begitu, SCMP melaporkan sumber tersebut sebagai berkata belum ada pengintip yang dikatakan itu sampai ke Sabah tetapi memberi amaran bahawa terdapat ramai daripada kalangan mereka yang sudah menetap di Sabah sedang berfungsi sebagai perisik (sleeper cell).





