Timbalan Premier Sarawak Tidak Puas Hati Kemajuan Projek Bernilai RM485 Juta

Timbalan Premier Sarawak Tidak Puas Hati Kemajuan Projek Bernilai RM485 Juta

0
SHARE
Datuk Amar Douglas Uggah Embas...

KUCHING, SARAWAK – Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas tidak berpuas hati dengan kemajuan projek Jalan Hubungan Pantai Kuching-Samarahan yang dibiayai kerajaan negeri bernilai lebih RM485 juta yang menghadapi masalah boleh diselesaikan.

Tanpa menyatakan masalah berkenaan, beliau berkata kerajaan negeri yakin dapat menangani isu dihadapi projek itu, yang terdiri daripada tiga pakej disasarkan siap menjelang Mac 2025.

“JKR (Jabatan Kerja Raya) mempunyai prosedur operasi standard, strategi dan pengalaman. Beberapa masalah dihadapi sebenarnya tidak boleh diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pejabatnya susulan lawatannya ke tapak projek itu kelmarin (5 April).

TIGA (3) pakej projek berkenaan merangkumi jambatan empat lorong merentasi Sungai Sarawak berdekatan Sejingkat bernilai RM365,737,131, menaik taraf jalan Kampung Tanjung Bako sejauh 7.5 kilometer (RM37,499,160) dan pembinaan jalan baharu dari Kampung Tanjung Bako ke Jambatan Batang Samarahan sejauh tujuh kilometer (RM81,844,554).

Uggah, yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan negeri berkata, beliau bersama pegawai kanan kementeriannya akan kerap melakukan lawatan pemeriksaan ke atas projek yang sedang dilaksanakan bagi memastikan ia siap mengikut jadual.

Beliau berkata rakyat menaruh harapan tinggi kepada kementerian dan kerajaan untuk melaksanakan projek seperti dijadualkan, justeru pentingnya untuk memperketatkan pemantauan atau penyeliaan projek.

“Jika kita hanya berharap kepada taklimat di pejabat, ia tidak sama dengan melawat tapak yang mana kita boleh lihat dan mengukur situasi sebenar. Jika ada masalah, kami dan JKR boleh berbincang dengan kontraktor terbabit untuk melihat dan mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mendedahkan empat projek jejambat di sepanjang Jalan Penrissen membabitkan kos RM352,966,210 akan siap tahun ini, yang mana di Batu 4 telah siap manakala jejambat di Batu 10 siap pada Mei, diikuti Batu 6 dan Batu 7 pada Jun.

“Saya berbesar hati kerana ketiga-tiga projek itu hampir siap dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kontraktor kerana menyiapkannya seperti dijadualkan,” katanya.

Beliau menambah bahawa cadangan juga telah dibuat untuk membina laluan bawah tanah di Bulatan Matang bagi melancarkan aliran trafik di bahagian utara bandar ini.

– BERNAMA