
KOTA KINABALU, SABAH – Pembangunan infrastruktur di Sabah terutama yang melibatkan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, jalan raya, dan elektrik perlu diberi penekanan oleh kerajaan pusat agar negeri itu dapat membangun seiring dengan negeri-negeri lain.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata peruntukan yang lebih besar berbanding sebelumnya perlu diberikan kepada Sabah dengan mengambil kira faktor geografi negeri tersebut.
Menurut Bung, rakyat di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar menghadapi isu pembangunan membabitkan insfrastruktur asas yang memerlukan peruntukan agak besar untuk dilaksanakan.
“Isu bekalan air bersih, jalanraya dan elektrik merupakan keperluan utama rakyat Sabah dna ianya memerlukan kos peruntukan yang agak besar yang tidak mampu disediakan oleh Kerajaan Negeri…
“Sebagai contoh untuk membaiki dan menaik taraf bekalan air bersih sahaja kita memerlukan sekitar RM 27 bilion untuk memulihkan kerosakan pada loji air di seluruh Sabah,” katanya ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar Dato (KPLB) Dato Ramlan Harun di pejabat kementerian berkenaan di Putrajaya baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu, menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, sudah tentu kerajaan negeri mengharapkan bantuan dari kerajaan pusat khususnya (KPLB) untuk menyalurkan lebih banyak peruntukan ke negeri ini selaras dengan konsep Keluarga Malaysia dan memenuhi aspirasi rakyat Sabah dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Bung berkata peruntukan yang lebih besar perlu difokuskan kepada isu kemudahan air terawat, kerana telah berlarutan sejak sekian lama dan menjadi kritikal ketika ini selain kemudahan sistem perhubungan jalanraya.
Semasa perjumpaan tersebut beliau yang diiringi oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah Datuk Mohd. Jasmin Juplin dan Pengarah Jabatan Air Sabah Edward Lingkapo turut mengemukakan beberapa cadangan dan permohonan kepada (KPLB) terutamanya untuk kemudahan bekalan air bersih dan jalanraya di Sabah.
“Dengan pertemuan ini kita berharap banyak masalah dapat di atasi berhubung pelaksanaan projek luar bandar di Sabah terutama pelaksanaan bekalan air, elektrik dan jalan luar bandar secara beperingkat-peringkat mengikut keutamaan,” katanya.