APMM Sabah Gagalkan Kegiatan Bom Ikan Di Perairan Tanjung Wokong

APMM Sabah Gagalkan Kegiatan Bom Ikan Di Perairan Tanjung Wokong

0
SHARE
Bahan terlarang yang ditemui atas bot ditahan...(Foto ihsan APMM)

KOTA KINABALU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan kegiatan mengebom ikan di perairan Tanjung Wokong, di sini, sekitar jam 11.00 malam, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Hj. Mohd Rosli Abdullah berkata, bot ronda maritim yang sedang dalam rutin operasi telah mengesan sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan di kedudukan sekitar 0.13 batu nautika barat Tanjung Wokong.

“Menyedari kehadiran bot ronda maritim, dua (2) orang lelaki yang berada atas bot pam tersebut nekad terjun ke laut dan berenang ke daratan berhampiran mengelak daripada diperiksa serta ditahan oleh anggota Maritim Malaysia…

“Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemui beberapa fius pembakar, kotak mancis dan beberapa peralatan disyaki digunakan bagi tujuan mengebom ikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Forensik ke atas perut ikan yang terdapat di atas bot terbabit mendapati organ dalaman ikan tersebut hancur disyaki disebabkan impak daripada aktiviti mengebom.

Bahan terlarang yang ditemui atas bot ditahan…(Foto ihsan APMM)

“Pam bot, hasil tangkapan serta peralatan mengebom ikan dibawa ke Jeti Maritim Sepanggar untuk siasatan lanjut,” tambah Rosli…

“Maritim Malaysia mengingatkan kepada mana-mana pihak yang melakukan aktiviti mengebom ikan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 26 (menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya) Akta Perikanan 1985.

“Dan jika didapati bersalah boleh dikenakan denda di bawah seksyen 25(A) dan (B) akta yang sama yang boleh membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya bagi warganegara.

“Manakala bagi rakyat negara asing, denda tidak melebihi RM 6 juta bagi tekong dan RM600 ribu bagi setiap kru,” tegasnya.