Ujian Makmal Perlu Bagi Kenal Pasti Madu Asli

Ujian Makmal Perlu Bagi Kenal Pasti Madu Asli

0
SHARE
Gambar Hiasan

KOTA BHARU: Madu tiruan kini cecah kira-kira 90 peratus berada di pasaran dan sekali gus menjadi cabaran terbesar kepada industri madu di negara ini.

Pensyarah Kanan Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Zulkifli Mustafa berkata, ujian makmal diperlukan bagi mengenal pasti madu asli yang mempunyai kelebihan dan kebaikan dalam aspek kandungan, khasiat serta kualiti.

“Madu adalah makanan lengkap dalam aspek tenaga, protein, vitamin, bakteria baik dan antioksida.

“Melalui kajian, pengambilan madu boleh bantu pencegahan penyakit kronik tidak berjangkit akibat gaya hidup mahupun akibat jangkitan. Kajian yang dilakukan melalui khasiat perubatan mendapati madu kelulut dapat meredakan keradangan akibat jangkitan kuman, tekanan atau stress, obesiti dan penuaan serta penyakit kornik,” katanya.

Katanya, USM melalui projek penyelidikan madu kelulut USM mengkomersialkan madu kelulut melalui pelan strategik membabitkan pembangunan penternak seramai 4,000 orang.

“Ini dilaksanakan di bawah inisiatif dinamakan KELULUNOMIC, untuk menjamin bekalan berterusan dan dipasarkan melalui syarikat spin-off universiti, iaitu Brainey Sdn Bhd. Dalam hal ini, kawalan kualiti yang ketat menjamin keaslian dan konsistensi zat madu yang digunakan dalam ujian-ujian klinikal di mana madu yang diuji ini dikeluarkan kepada pengguna,” katanya.

Secara amnya lagi, beliau berkata, madu kelulut mempunyai ciri fizikal yang lebih cair dengan rasa masam manis yang unik dengan aroma bunga atau buah.

Madu kelulut turut diketengahkan sebagai makanan berkhasiat dan suplemen tambahan membantu pertumbuhan otak kanak-kanak, meningkatkan sistem imun badan, mengawal tekanan emosi dan pencegahan nyanyuk dalam kalangan warga emas.