TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menafikan dakwaan pembangkang kononnya kawasan Sulaman tidak menerima sebarang pembangunan sepanjang lapan penggal beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat. Menurutnya, rakyat di Sulaman sendiri menjadi saksi kepada pelbagai perubahan yang telah dilaksanakan, justeru tuduhan pembangkang tidak berasas.
Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa sokongan berterusan rakyat selama lapan penggal membuktikan keyakinan mereka terhadap kepimpinannya. Beliau yakin trend sokongan tersebut akan berulang pada Pilihan Raya Dewan Undangan Sabah (PRU DU Sabah) Ke-17 pada 29 November ini.
“Sulaman ini cukup saya sayangi. Rakyat tahu apa yang kita buat, hanya pembangkang saja yang tidak nampak,” katanya ketika berucap pada sesi ceramah bersama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Indai.
Beliau berkata, pembangunan perumahan dan kemudahan asas adalah antara perubahan besar yang telah dibawanya. Menurutnya, perumahan rakyat di Sulaman dan Pekan Tuaran kini mencukupi, manakala akses jalan raya ke kampung-kampung hampir siap sepenuhnya.
Selain itu, Hajiji turut menyebut kejayaan besar mengubah kampung nelayan di Mengkabong dan Penimbawan, di mana penduduk yang dahulu menetap di rumah atas air kini telah berpindah ke rumah baharu di daratan yang diberikan secara percuma oleh kerajaan. Usaha itu dilakukan, jelas beliau, bagi meningkatkan taraf hidup penduduk miskin yang bergantung kepada sektor perikanan.
Selain aspek perumahan, Hajiji menekankan komitmen kerajaan terhadap pembangunan belia di Tuaran. Beliau menyatakan pembinaan Kompleks Sukan Tuaran di kawasan seluas 100 ekar sebagai projek penting untuk generasi muda. Pembinaan astaka baharu bernilai RM15 juta sedang berjalan, selain cadangan mewujudkan trek kereta grag di kawasan sama.
Menurutnya, kerajaan turut menyediakan bantuan tahunan kepada persatuan belia serta sokongan kepada usahawan kecil yang mahu memulakan perniagaan.
Dalam aspek infrastruktur, Hajiji menjelaskan bahawa kerja menaik taraf laluan dari Bulatan Berungis ke Batangan kepada jalan empat lorong sedang berjalan lancar bagi meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Projek Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Serusup, Tuaran ke Binturu, Kota Belud dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi. Apabila siap, penduduk Penimbawan dan Kampung Baru-Baru tidak lagi perlu melalui laluan Ambong yang jauh, sekali gus mempercepatkan perjalanan harian mereka.
Hajiji berkata, beliau yakin majoriti daripada 1,918 pengundi berdaftar di PDM Indai akan menyokongnya pada 29 November nanti. Beliau menegaskan komitmen untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat Sulaman dan Tuaran.
Pada masa sama, beliau meluangkan masa melawat beberapa markas PDM di kawasan Sulaman bagi menemui pengundi serta jentera parti.






