SEMPORNA, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Semporna menggagalkan cubaan dua buah bot laju menyeludup keluar minyak petrol di perairan Pulau Si Amil di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, kedua bot berwarna biru terbabit telah dikesan semasa rondaan kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
“Semasa dirapati, tekong bot telah bertindak mengemudi bot ke kawasan lebih cetek dan bertindak terjun melarikan diri ke daratan berhampiran…
“Pemeriksaan ke atas bot menemui tong-tong berisi minyak petrol dengan anggaran sebanyak 3500 liter dan dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.
“Nilai rampasan termasuk dua buah bot beserta enjin bernilai lebih kurang RM 35,675 keseluruhannya,” katanya.
Norrimi berkata siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 diteruskan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan.