KUALA LUMPUR – Wanita Barisan Nasional (BN) telah mengenalpasti calon-calon wanita yang berkebolehan dan berpotensi untuk menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 15.
Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata senarai calon wanita terbabit telah diserahkan kepada kepimpinan tertinggi BN untuk dipertimbangkan.
“Menjadi harapan saya selaku Pengerusi Wanita BN untuk melihat calon-calon yang dikemukakan ini diterima baik oleh kepimpinan BN sekaligus memenangi pilihan raya bagi mewakili golongan wanita dan seluruh rakyat Malaysia…
“Dengan kepercayaan yang diberikan ini, Wanita BN yakin mampu memberikan sumbangan kepada parti dan meletakkan iltizam yang tinggi untuk terus berbakti kepada rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.
Dalam pada itu, Noraini turut berkata pihaknya mengalu-alukan keputusan Majlis Tertinggi BN yang telah menyatakan komitmen untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus (30%) penglibatan calon wanita dalam PRU15 kelak.