
KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri dan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) akan terus komited dalam usaha memastikan pembangunan wanita di Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, wanita bukan hanya sekadar penyumbang kepada sumber tenaga kerja untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi negara.
“Tetapi wanita juga berperanan dalam membentuk institusi kekeluargaan yang menjadi asas kepada pembangunan negara…
“Justeru itu, selain daripada memperkasa kebolehan dan kelebihan wanita, langkah-langkah dan usaha bagi melindungi hak, kebajikan dan keselamatan mereka juga harus diutamakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Ahli MPWS di Menara Kinabalu, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Exco Kesihatan Negeri Sabah, IR. Shahelmey Yahya; Pengerusi MPWS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Ekonomi, Datuk Hajah Dr Tarsiah TZ Taman; Timbalan Pengerusi MPWS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Gender Hajah Baiyah Ag. Mahmon.
Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Puan Haslina Ismail; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Ekonomi merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda, serta wakil-wakil lain daripada MPWS.