G57 Persoal Kuasa DBKK Melelong Kenderaan Ditunda, Gesa Kaedah Klamp Tayar Diutamakan

G57 Persoal Kuasa DBKK Melelong Kenderaan Ditunda, Gesa Kaedah Klamp Tayar Diutamakan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mempersoalkan asas perundangan yang digunakan oleh Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Seri Sabin Samitah untuk melucut hak dan melelong kenderaan yang ditunda selepas tempoh 30 hari.

Tindakan tersebut disifatkan bukan sahaja terburu-buru, malah berisiko melanggar hak pemilikan sah pihak institusi kewangan di bawah undang-undang negara.

Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar, menegaskan bahawa sebahagian besar kenderaan harian yang ditunda atau berdepan risiko dilelong itu sebenarnya masih dalam komitmen ansuran bulanan bank.

“Dari sudut undang-undang dan Akta Sewa Beli 1967, kenderaan yang masih dalam pembiayaan tersebut tertakluk kepada hak pihak institusi kewangan sehingga bayaran diselesaikan sepenuhnya oleh penyewa.

“Di bawah ordinan atau undang-undang kecil perbandaran mana yang membolehkan seorang Mayor mengetepikan hak institusi perbankan dan terus melucutkan hak kenderaan tersebut dalam masa 30 hari sahaja? Tindakan DBKK ini boleh mencetuskan pertikaian undang-undang yang serius dengan pihak bank, selain meletakkan pembeli lelongan awam dalam risiko sekiranya hak milik kenderaan itu gagal dipindahkan akibat sekatan bank.

“Pendekatan penguatkuasaan yang terlalu drastik ini dan penafian kononnya ruang parkir cukup untuk pengguna di Kota Kinabalu jelas menunjukkan kenaifan DBKK. Kenderaan yang masuk ke Kota Kinabalu datang dari seluruh pelosok negeri Sabah. Bagaimana ruang parkir sedia ada boleh dianggap mencukupi? Oleh sebab itu, pendekatan mendidik sambil menghukum perlu diterjemahkan kepada Mayor dan DBKK itu sendiri.

“Sikap tidak realistik ini mencerminkan kegagalan tadbir urus semasa dalam mengimbangi kebajikan rakyat awam. Fokus pihak berkuasa tempatan sepatutnya ditumpukan kepada menyediakan lebih banyak ruang parkir dan penyelesaian isu perbandaran yang lebih kritikal seperti pengurusan sisa pepejal, pembersihan parit tersumbat bagi mengelakkan banjir kilat, penyelenggaraan taman permainan, pembaikan lampu jalan, serta kawalan terhadap peniaga tanpa lesen dan aktiviti haram di bandar raya.

“G57 sama sekali tidak mempertahankan kesalahan parkir, namun tindakan hukuman oleh DBKK dengan mengangkut kenderaan berserta kos denda yang mahal adalah sangat tidak praktikal. Melihat kepada dasar penguatkuasaan yang menindas dan tidak mesra rakyat ini, G57 berpandangan bahawa sudah tiba masanya jawatan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu diisi oleh kepimpinan baharu yang lebih inklusif, profesional, dan cakna terhadap kebajikan masyarakat.

“Sehubungan itu, G57 mendesak DBKK menggantikan tindakan menunda kenderaan secara terus dengan kaedah klamp tayar sebagai pengajaran awal yang lebih praktikal tanpa mengenakan beban kos melampau. DBKK juga perlu menangguhkan prosedur lelongan awam dan tindakan lucut hak selepas 30 hari bagi membolehkan semakan undang-undang dibuat bersama pihak institusi kewangan.

“Pada masa yang sama, DBKK wajar menyediakan mekanisme tuntutan yang lebih fleksibel atau pelan ansuran kompaun agar kenderaan harian keluarga marhaen dapat dikeluarkan segera demi kelangsungan hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, G57 turut menerima lambakan aduan daripada golongan marhaen berpendapatan rendah yang terjejas kerana kenderaan yang disita merupakan pengangkutan utama keluarga untuk mencari rezeki serta menghantar anak-anak ke sekolah.

Oleh itu, tegasnya, G57 mendesak DBKK menggantikan tindakan menunda secara terus dengan kaedah klamp tayar sebagai pengajaran awal, serta menangguhkan prosedur lelongan awam demi mengelakkan implikasi perundangan yang lebih parah.