“Jangan Terlalu Angkuh”, Nasihat Warisan Buat DAP Sabah

“Jangan Terlalu Angkuh”, Nasihat Warisan Buat DAP Sabah

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin digesa agar berhenti bersikap angkuh dan memikirkan bahawa Cina Sabah mesti mengundi DAP.

Penolong Penyelaras Parlimen Batu Sapi, Parti Warisan Sabah (Warisan), Shirley Chien berkata dalam satu undian institut Merdeka baru-baru ini menunjukkan bahawa DAP di Sabah kehilangan populariti dan sokongan dalam kalangan orang cina.

“Undian itu menunjukkan bahawa populariti DAP dalam kalangan orang Cina jatuh 57 peratus selepas Warisan ditubuhkan yang tidak sampai tujuh bulan.

 “ Jadi jangan fikir orang Cina Sabah sewenang-wenangnya mengundi DAP. Jangan lupa bahawa DAP adalah sebuah parti yang berpangkalan di Malaya dan tidak dapat memperjuangkan sepenuhnya kepentingan Sabah kerana mereka perlu merujuk kepada ‘bos’ mereka di Malaya terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad baru-baru ini.

Chien berkata Warisan satu-satunya parti pelbagai kaum Sabah yang akan bersatu dengan semua rakyat di Sabah tanpa mengira kaum dan bangsa.

Beliau berkata orang-orang Cina menyokong Warisan untuk membentuk kerajaan Sabah dan bukan DAP yang hanya akan menjadi pembangkang.

“Saya adalah pengundi Cina di Sandakan dan sudah pasti mengundi Warisan jika ada pertarungan antara kedua-duanya. Saya tahu ramai keluarga dan rakan-rakan Cina saya merasakan sama seperti yang saya rasa.

 “Jadi jangan terlalu angkuh dan mendakwa bahawa DAP akan bertanding di semua kerusi negeri di Sandakan. Saya ingin mengingatkan DAP bahawa mereka tidak pernah menang sebarang kerusi di Sandakan atau kerusi negeri Batu Sapi dan saya percaya hanya Warisan mempunyai kekuatan untuk menewaskan kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Sandakan.

 “Saya percaya sokongan Warisan akan terus meningkat dalam kalangan rakyat Sabah,” katanya.

Chien, yang merupakan bekas ahli majlis tertinggi PBS merangkap Ketua Bahagian Tanjung Papat, telah menasihati Chan agar tidak menghina kebijaksanaan rakyat Sabah dan berhenti menyerang Warisan.

Menurutnya, ramai pemimpin Sabah termasuklah dari parti komponen BN seperti UMNO, PBS, LDP, UPKO dan MCA telah menyertai perjuangan Warisan untuk manfaat generasi masa depan Sabah.

“DAP sepatutnya menyerang BN tetapi nampaknya keadaannya terbalik. Rakyat sudah penat dengan DAP khususnya kamu (Chan) dengan angkuh menyerang Warisan. Warisan berada di sini untuk menggulingkan BN, bukan untuk melemahkan DAP. Jangan salahkan Warisan kerana kamu kehilangan sokongan Cina.

 “Warisan mempunyai strategi dan formula yang betul untuk memenangi pilihan raya akan datang dan DAP harus belajar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar terus positif dan menunggu langkah Warisan. Kami sudah bersedia untuk membentuk kerajaan Sabah seterusnya.

 “Tolong jangan musnahkan peluang terbaik rakyat Sabah untuk menggulingkan BN,” kata Chen.

– HarianEkspres