KOTA KINABALU, SABAH – Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu mestilah seorang rakyat Sabah sejajar dengan ‘Borneonisasi’ yang ditetapkan dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Ketua Pemuda Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Jovilis Majami berkata melantik seorang rakyat Sabah untuk memegang jawatan penting seperti itu adalah tindakan yang tepat untuk memenuhi suara rakyat Sabah dan keperluan yang juga perjuangan utama Harapan Rakyat.
Beliau berkata beliau optimis bahawa ia adalah tidak sukar untuk Lembaga Pengarah UMS mencadangkan seorang atau dua rakyat Sabah kerana terdapat kumpulan Rakyat Sabah yang layak, boleh dipercayai dan intelektual yang boleh memenuhi jawatan itu di negeri ini.
“Saya terkejut membaca di akhbar dan media sosial bahawa Lembaga Pengarah UMS telah mencadangkan bukan rakyat Sabah untuk mengambil alih daripada Profesor Datuk Dr Mohd Harun Abdullah yang dilantik sebagai Naib Canselor bermula 18 Jun 2012 dan akan bersara pada bulan depan.
“Ia adalah satu penghinaan jika seorang bukan rakyat Sabah dilantik sebagai Naib Canselor UMS kerana Sabah tidak pernah kekurangan orang yang kompeten dan mampu memegang jawatan itu dan sebenarnya kita mempunyai banyak daripdanya,” katanya kepada Daily Express pada Sabtu yang lalu.
Jovilis yang juga Naib Presiden Harapan Rakyat, mengulas berita bahawa tidak ada rakyat Sabah dicadangkan untuk mengambil alih jawatan Naib Canselor UMS.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Zaki Azmi yang juga bukan rakyat Sabah, dan satu jawatankuasa yang diketuainya, dikatakan telah mencadangkan dua bukan rakyat Sabah untuk mengambil alih jawatan itu daripada Dr Harun.
Oleh itu, ramai netizen yang mengecam cadangan itu dan tidak memasukkan rakyat Sabah. Seorang rakyat Sabah yang tidak mahu dinamakan dilaporkan sebagai berkata Zaki mesti meletak jawatan daripada jawatannya jika berita itu adalah benar bahawa tidak ada rakyat Sabah dicadangkan untuk jawatan Naib Canselor itu.
Jovilis yang juga seorang graduan UMS dalam kejuruteraan awam, berkata kerajaan Barisan Nasional di Sabah harus memastikan seorang rakyat Sabah dilantik untuk mengambil alih jawatan Naib Canselor UMS untuk menggambarkan dan mendukung ikrarnya untuk menurunkan kuasa Persekutuan kepada kerajaan negeri secara berperingkat.
Beliau berkata kerajaan perlu campur tangan dalam perlantikan Naib Canselor UMS untuk memenuhi suara majoriti rakyat Sabah terutamanya dengan pilihan raya umum yang hampir tiba.
“Memberikan jawatan VC UMS kepada seorang rakyat Sabah demi kepentingan rakyat Sabah… walaupun perlantikan Naib Canselor tidak menetapkan bahawa seorang rakyat Sabah mesti dilantik untuk mengambil alih jawatan itu dalam peraturannya,” kata Jovilis.
– HarianEkspres