MOSCOW, RUSIA – Presiden Rssia Vladimir Putin mengarahkan ketua pertahanannya meletakkan ‘pasukan pencegahan’ negara itu dalam keadaan sangat bersedia – merujuk kepada unit yang termasuk senjata nuklear – susulan kenyataan agresif oleh pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan sekatan ekonomi terhadap Moscow.
Ini kerana beliau menuduh negara Barat mengambil langkah ‘tidak mesra’ terhadap negaranya di tengah-tengah pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
“Saya mengarahkan menteri pertahanan dan ketua kakitangan am angkatan tentera Rusia untuk meletakkan pasukan pencegahan tentera Rusia ke dalam mod khas perkhidmatan tempur,” kata Putin dalam ucapan di televisyen.
Sementara itu di Washington, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki, berkata arahan Putin untuk meletakkan pasukan nuklear Rusia dalam keadaan berjaga-jaga adalah sebahagian daripada corak ancaman yang direka Moscow untuk mewajarkan pencerobohan.
“Kita telah melihat beliau melakukan ini berulang kali. Rusia tidak pernah diancam oleh NATO, adakah Rusia berada di bawah ancaman dari Ukraine,” kata Psaki dalam program ‘Minggu Ini’ ABC.
“Ini semua adalah cara Presiden Putin dan kami akan menentangnya. Kami mempunyai keupayaan untuk mempertahankan diri, tetapi kami juga perlu bertindak terhadap apa yang kami lihat di sini daripada Presiden Putin,” tambah Psaki.
Amerika Syarikat (AS) terbuka untuk memberikan bantuan tambahan kepada Ukraine, kata Psaki.





