KOTA KINABALU: Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, menyifatkan Presiden Parti Warisan kini sekadar bayangan seorang pemimpin yang kehilangan arah dan pengaruh, setelah meninggalkan perjuangan yang membina karier politiknya suatu ketika dahulu.
Beliau berkata demikian ketika menegaskan pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah bahawa tiada sebarang bentuk kerjasama, sama ada rasmi atau tidak rasmi, dengan Parti Warisan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang akan datang.
“UMNO tidak bermain di dua gelanggang. Kami memilih jalan politik yang jelas dan berprinsip, bukan samar atau berselindung,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Suhaimi menegaskan, sebarang dakwaan atau spekulasi yang cuba mengaitkan UMNO dan BN Sabah dengan Warisan adalah tidak benar serta bertujuan mengelirukan rakyat.
Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat masih ingat bagaimana Presiden Parti Warisan dibesarkan dalam perjuangan UMNO dan pernah diberi kepercayaan hingga menjawat jawatan Naib Presiden parti itu.
“Namun apabila diuji dengan kesetiaan, beliau memilih meninggalkan perjuangan yang membina kariernya,” ujar beliau.
Suhaimi menambah, politik tanpa kesetiaan bukanlah perjuangan sebenar, sebaliknya hanya perjalanan peribadi tanpa hala tuju.
Katanya, UMNO dan BN Sabah kini kekal fokus membina semula keyakinan rakyat melalui kestabilan politik, perpaduan nasional dan dasar pembangunan yang realistik demi masa depan Sabah yang lebih makmur dan stabil.






