KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menjadikan kawasan Pantai Dalit di Tuaran sebagai Makmal Hidup (Living Lab) baharu universiti, dalam usaha memperkasa pembangunan pelbagai aspek komuniti setempat termasuk ekonomi, sosial dan pendidikan.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata, inisiatif itu melibatkan pelaksanaan pelbagai program pemindahan ilmu yang berfokus kepada keperluan dan potensi masyarakat di kawasan berkenaan.
“UMS akan menjadikan Dalit sebagai Living Lab dengan pelaksanaan aktiviti yang boleh membantu memajukan masyarakat setempat.
“Setiap program akan dirancang secara strategik agar universiti dapat menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan komuniti,” katanya ketika mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, merasmikan Kejohanan Bola Sepak Dalit Cup sempena Program Living Lab @ Dalit di Stadium UMS, di sini.
Menurut beliau, universiti berperanan penting sebagai pemangkin perubahan masyarakat melalui kerjasama erat dengan komuniti tempatan.
“Penganjuran Dalit Cup ini menjadi salah satu platform bagaimana universiti dapat membantu menerapkan nilai penganjuran sukan dalam kalangan belia, sekali gus memperkukuh hubungan erat antara universiti dan masyarakat,” ujarnya.
Kejohanan tersebut menyaksikan tujuh pasukan dari kawasan sekitar Tuaran termasuk Pasukan Tuaran Bandar, Gayang, Berunggis, Mengkabong, Marabahai, Telipok dan Nongkolud berentap merebut gelaran juara Dalit Cup, simbol semangat perpaduan dan kerjasama komuniti tempatan.






