SIPITANG, SABAH – Kesukaran membawa bahan binaan ke Kampung Long Pasia yang terletak setinggi 1,000 meter dari aras laut di Tanah Tinggi Maligan, dan lebih 300 kilometer (km) dari Kota Kinabalu, menyukarkan penduduk untuk memiliki rumah sendiri yang sempurna.
Justeru, tidak hairanlah program Skim Pinjaman Rumah Panjang (SPRP) dan Skim Pinjaman Perumahan Untuk Golongan Berpendapatan Rendah (SPPUGBR) dilaksana kerajaan adalah sinar bagi penduduk kampung itu yang terletak 128 km dari Pekan Sipitang untuk memiliki rumah mereka sendiri.
Pembantu Menteri Kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Isnin Aliasnih yang dipetik Bernama berkata program itu penting dalam usaha kerajaan negeri memastikan rakyat Sabah terutama di kawasan pedalaman seperti Kampung Long Pasia, mempunyai rumah selesa untuk keluarga mereka.
“Ini adalah satu daripada usaha kerajaan negeri melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) untuk membantu masyarakat luar bandar yang berpendapatan rendah mempunyai rumah dalam kos yang berpatutan,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.
Terdahulu, beliau menyerahkan rumah program itu di Kampung Long Pasia di sini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusuf Yacob, ADUN Lumadan Datuk Ruslan Muaram dan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Sipitang untuk Pilihan Raya Umum ke-15 Datuk Matbali Musah.
Menerusi program SPRP, sebanyak dua blok rumah panjang telah dibina di Kampung Long Pasia menerusi projek selama tiga tahun dan diserahkan pada Jumaat (11 Nov), menempatkan keseluruhan 20 rumah yang mempunyai tiga bilik dengan harga RM75,000 sebuah rumah.
Bagi program SPPUGBR pula, penduduk berpendapatan rendah di kampung itu ditawarkan pinjaman RM50,000 untuk membina sebuah rumah.
Sementara itu, penerima rumah program SPRP Ray Laban, 56, berkata program seperti itu telah memberikan ruang untuk dirinya memberikan rumah yang lebih sempurna untuk keluarga.