KOTA KINABALU, SABAH – Ekonomi Sabah yang terjejas akibat pandemik COVID-19 kelihatan lebih optimis tahun ini dengan kelangsungan Sidang Kemuncak Ekonomi dan Perniagaan Antarabangsa 2022 (SIBES).
Majlis anjuran Kerajaan Negeri Sabah dengan kerjasama KSI Strategic Institute For Asia Pacific yang dijadualkan berlangsung sehingga esok (Selasa) merupakan persidangan antarabangsa bertujuan sebagai wacana bagi mempromosikan ekonomi Sabah secara inklusif, mampan dan inovatif.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Sabah memainkan peranan penting sebagai penyumbang keenam terbesar kepada ekonomi Malaysia.

“Sabah memainkan peranan penting sebagai penyumbang keenam terbesar kepada ekonomi Malaysia, sebanyak 5.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan Sabah telah mencapai kejayaan yang ketara dalam pembangunan ekonominya…
“Berdasarkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya, SIBES akan menyentuh pelbagai topik meliputi prospek ekonomi Sabah, landskap pelaburan kepada transformasi pertanian dan pendigitalan ekonomi,” katanya pada pelancaran majlis tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pagi tadi.

Beliau berkata perbincangan, perkongsian dan cadangan di antara para peserta termasuk duta kepada negara-negara asing melalui sidang kemuncak tersebut adalah penting bagi mendapatkan hasil yang bermanfaat kepada ekonomi Sabah.
Katanya potensi Sabah dengan lokasi strategik di antara BIMP-EAGA membuka pelbagai peluang untuk negeri itu menjadi hab serantau antaranya bagi industri pembuatan, maritim dan pengangkutan.
“Saya menjangkakan Sabah juga akan mendapat manfaat daripada kerjasama ekonomi dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau yang berkuat kuasa awal bulan ini,” kata Ketua Menteri.

Dari sudut pelancongan, Hajiji berkata Sabah akan bangkit semula sebagai tarikan pelancong utama dunia dengan penambahan kepada kategori mewah seperti pembangunan bersepadu Lok Kawi Resort City selain daripada keindahan alam semula jadi dan hidupan liar sedia ada apabila sempadan dibuka sepenuhnya kelak.





