
KOTA KINABALU, SABAH – Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023, Sabtu ini, akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan berkenaan memaklumkan, sambutan itu akan diadakan di Padang Merdeka Kota Kinabalu mulai jam 6.00 petang.
Menurutnya, pelbagai acara menarik menanti para pengunjung antaranya, persembahan khas, “Malaysia Madani : Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), tayangan montaj dan pertunjukan bunga api.
Oleh itu, beliau menjemput orang ramai hadir beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan terbabit.
Christina ditemui media selepas sesi kunjungan hormat terhadap Tun Juhar di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
Terdahulu, Tun Juhar menerima kunjungan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abdul Rahman Sebli.
Kunjungan tersebut bertujuan untuk mempersembahkan nama empat calon bagi jawatan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi dari Sabah dan Sarawak.
Hadir sama, Setiausaha Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Qalam Zainuddin Sani dan ahlinya, Datuk Abdul Razak Tready. — JABATAN PENERANGAN SABAH