Ismail Sabri Cabar Aljazeera Tunjuk Negara Mana Beri Kebebasan Mutlak Kepada Warga...

Ismail Sabri Cabar Aljazeera Tunjuk Negara Mana Beri Kebebasan Mutlak Kepada Warga Asing Tak Berdokumen

0
SHARE
Datuk Seri Ismail Sabri...

PUTRAJAYA – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri hari ini mencabar agensi berita antarabangsa, Aljazeera untuk menyenaraikan negara yang memberi kebebasan mutlak kepada warga asing.

“Kita boleh tanya Aljazeera ini, berikan kita nama mana-mana negara dalam dunia ini membenarkan warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau dokumen tidak sah boleh bebas di negara mereka…

“Saya cabar Aljazeera tunjukkan negara mana yang memberikan kebebasan mutlak kepada warga asing yang tidak berdokumen. Jawapannya setahu saya, tidak ada,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Tambah beliau, tuduhan juga dibuat yang mengatakan kerajaan Malaysia mengurung secara tidak adil kepada PATI.

“Perkara tersebut adalah tidak benar, kerana bukan setakat PATI yang dikurung malah PKPD di kawasan lain, termasuk di pusat tahfiz, beberapa perkampungan di Hulu Langat dikurung juga,” jelas Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian dalam mengulas isu sebuah dokumentari terbitan Aljazeera yang membuat tuduhan berat ke atas kerajaan Malaysia kononya bertindak ‘kejam’ ke atas migran dan pendatang asing tanpa izin (PATI) sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.