
KOTA KINABALU, SABAH – Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun menasihati pegawainya untuk tidak beriri hati jika berpeluang naik pangkat atau bertukar jawatan.
“Saya tahu ada antara kita yang masih belajar dan berusaha untuk naik pangkat. Mungkin ada yang pernah dicadangkan namanya dan menaruh harapan yang tinggi. Tetapi itu bukan alasan untuk beriri hati.
“Kenaikan pangkat adalah subjektif. Walau apa pun, kita memakai seragam biru yang sama. Ini bermakna kita berkongsi tanggungjawab sebagai institusi dan bukan individu, kepada tujuan yang sama iaitu memartabatkan pasukan polis negara untuk rakyat,” katanya.
Jauteh berkata jenis ketua yang mengambil kredit untuk kerja keras orang bawahannya menunjukkan tanda pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan tidak layak naik pangkat.
“Kredit adalah milik mereka yang benar-benar memperolehnya dengan kerja keras dan jujur,” katanya.
Beliau ditemui ditemui selepas majlis kenaikan pangkat dan serah terima tugas empat ketua Jabatan Kontinjen Sabah pada Isnin.
Beliau menyaksikan pertukaran jawatan ketua Jabatan Pengurusan daripada ACP Wan Badrul Hisham Wan Osman kepada SAC Nik Md Zain Nik Omar, Ketua Siasatan Jenayah daripada SAC Sapii Ahmad kepada SAC Azmi Abdul Rahim, Ketua Logistik dan Teknologi daripada DSP Leo B Sojie kepada ACP Datin Laila Sagir dan Ketua Jenayah Komersial daripada Supt Moses Govindarajoo kepada DSP Iyda Ismail.
Jauteh menyamakan rombakan itu termasuk dirinya dan Timbalan Pesuruhjaya baharu yang mengangkat sumpah minggu lalu seolah Kontinjen itu menerima enjin baharu.
Sementara itu, beliau berkata dua lagi Ketua Polis Daerah Sabah dijangka menyerahkan tugas yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Jauteh menambah bahawa Sabah kekal tujuh teratas dalam kalangan 13 kontinjen lain di negara ini dalam menangani kadar jenayah masing-masing.





