PRN Sarawak: Abang Jo Menang Tanpa Bertanding di DUN Gedong

PRN Sarawak: Abang Jo Menang Tanpa Bertanding di DUN Gedong

0
SHARE

GEDONG: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg menang tanpa bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.

Memetik laporan Berita Harian, kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Jamain Wahab pada jam 10.10 pagi.

Terdahulu, seorang individu, Sahari Pet hadir ke pusat penamaan calon untuk bertanding atas tiket Bebas, namun hanya pencalonan Abang Johari diterima.

Kemenangan itu membolehkan Abang Johari mengekalkan kerusi DUN Gedong tanpa perlu melalui proses pengundian pada 12 Disember ini.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS menyifatkan kemenangan berkenaan sebagai petanda keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan negeri, khususnya dalam melaksanakan agenda pembangunan Sarawak.

“Pertama, saya memanjatkan syukur kepada Allah SWT kerana ada tanda-tanda keyakinan rakyat di Sarawak kepada pentadbiran GPS yang menguruskan pembangunan di negeri ini.

“Saya juga ucap terima kasih kepada orang Gedong kerana memberi keyakinan kepada saya untuk menguruskan bersama rancangan yang sedang dilaksanakan hingga ke tahun 2030,” katanya.

Pada PRN12 tahun 2021, Abang Johari memenangi kerusi DUN Gedong dengan majoriti 3,607 undi selepas beralih daripada DUN Satok yang disandangnya sejak 1981.