KOTA KINABALU: Kehilangan ayah tercinta ketika berada di semester kelima pengajian menjadi ujian berat buat pasangan kembar dari Kota Belud, namun kesedihan itu tidak mematahkan semangat mereka untuk merealisasikan impian Allahyarham melihat kedua-duanya bergelar doktor.
Dr Kamariah Liashin dan Dr Karmilah Liashin, 39, yang mendapat perhatian di media sosial dengan gelaran ‘Twin Doctor’, akhirnya berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pendidikan (Pengurusan Pendidikan) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-28, hari ini.
Lebih membanggakan, pasangan kembar itu berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh dua tahun empat bulan, lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Kamariah berkata, kehilangan bapa mereka, Allahyarham Yassin Omar, akibat kanser otak pada April 2025 merupakan antara cabaran peribadi terbesar sepanjang perjalanan pengajian mereka.
“Ini adalah antara cita-cita dan impian ayahanda untuk melihat anak kembarnya bergelar doktor.
“Alhamdulillah, manisnya adalah kami berjaya menyiapkan PhD ini lapan bulan lebih awal daripada tarikh yang telah ditetapkan oleh pihak KPM,” katanya ketika ditemui media selepas majlis konvokesyen berkenaan.
Kedua-duanya merupakan pendidik yang menerima tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) KPM dan memulakan pengajian sepenuh masa pada Ogos 2023.
Sementara itu, Karmilah berkata, kekuatan hubungan sebagai pasangan kembar menjadi tunjang kepada kejayaan mereka dalam mengharungi pelbagai cabaran sepanjang pengajian.
“Kalau orang katakan perjalanan PhD itu adalah perjalanan sunyi, kami rasa tidak sunyi sebab saling menyokong dan memberi semangat.
“Kami selalu melihat diri kami ini akan menjadi kuat apabila bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Karmilah turut menitipkan pesanan kepada golongan suami agar sentiasa menyokong impian isteri untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan tanpa perlu memilih antara keluarga dan kerjaya.
“Jangan patahkan sayap mereka untuk terbang tinggi.
“Pendidikan bukan sahaja mengubah kehidupan, tetapi akan sentiasa menghidupkan impian yang suatu masa dahulu kita anggap sebagai mustahil,” katanya.
Kamariah kini bertugas sebagai pensyarah di Institut Aminuddin Baki Cawangan Sabah, manakala Karmilah merupakan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud.
Pasangan kembar yang dilahirkan pada 21 Mei 1987 itu bertekad untuk memanfaatkan ilmu dan kepakaran yang diperoleh bagi meningkatkan kompetensi pendidik serta menyumbang kepada pembangunan sistem pendidikan di Sabah.
Bagi mereka, kejayaan menggenggam PhD bersama bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi juga menjadi tanda terlaksananya impian seorang ayah yang tidak sempat menyaksikan kejayaan kedua-dua anak kembarnya.






