RM3.43 Juta Peruntukan Tingkatkan Kepimpinan Wanita

RM3.43 Juta Peruntukan Tingkatkan Kepimpinan Wanita

0
SHARE
James
Tarsiah (dua dari kiri) ketika menyampaikan cenderahati kepada James (dua dari kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Peneranhan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri memperuntukkan RM3.43 juta bagi meningkatkan kepimpinan wanita.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan tersebut disalurkan di bawah projek khas Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) iaitu Akademi Kepimpinan Wanita (AKWan) bagi tempoh 2022-2024 dalam usaha membudayakan kesaksamaan gender dan membangun potensi wanita di negeri ini.

“Saya dimaklumkan program ini memfokus kepada memberi latihan dan meningkatkan kualiti kepimpinan golongan wanita di Sabah.

“Justeru, program ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang mengambil berat terhadap kebolehan dan tahap keberkesanan kepimpinan wanita dalam pelbagai aspek dan peringkat.

“Sementara itu, kerajaan negeri juga amat menghargai usaha Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) dan MPWS dalam memperkasa golongan wanita di negeri ini.

“Oleh yang demikian, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) melalui JHEWA telah diperuntukkan sebanyak RM4.2 juta bagi pelaksanaan program Kemahiran Ibu Tunggal dan Wanita B40, Program Kepimpinan dan Kesaksamaan, manakala MPWS sebanyak RM700 ribu,” katanya semasa berucap ketika Majlis Graduasi Kursus Kepimpinan Wanita (AKwan) Pertama Tahun 2023 di sini, pada Sabtu.

Hajiji berharap AKwan akan terus memperkasakan golongan wanita melalui program-program kepimpinan dengan modul kursus yang terbaik dan yakin kerjasama antara JHEWA dan MPWS dapat mempertingkatkan lagi kepimpinan wanita berwibawa di negeri ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.

Sementara itu, Hajiji berkata sejajar perubahan masa kini kerajaan negeri akan terus berusaha untuk mencapai 30 peratus penglibatan wanita dalam memegang jawatan tinggi dan pembuat keputusan di Sabah.

“Berdasarkan data daripada JHEWA wanita sebagai pembuat keputusan dalam kerajaan negeri bagi jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) merekodkan 33.3 peratus iaitu seorang wanita daripada tiga orang TSKN.

“Jawatan Setiausaha Tetap Kementerian pula mencatat 30 peratus iaitu tiga orang wanita daripada 10 Setiausaha Tetap Kementerian manakala 47.61 peratus bagi Ketua Jabatan iaitu 20 orang wanita daripada 42 Ketua Jabatan.

“Manakala, data daripada Jabatan Tenaga Kerja juga menunjukkan peningkatan wanita sebagai tenaga buruh iaitu pada tahun 2020 sebanyak 55.3 peratus, tahun 2021 sebanyak 55.5 peratus dan 55.9 peratus bagi tahun 2023,” tambahnya.

Beliau menegaskan golongan wanita yang berdaya saing, mempunyai idea baharu dan semangat wawasan yang tinggi diperlukan agar dapat memastikan Sabah maju ke hadapan dan mempunyai barisan pentadbiran yang berdaya saing seiring dengan pembangunan negara.

Seramai 114 graduan Kursus Kepimpinan Wanita (AKWan) dari 11 siri bagi tahun 2023 diraikan dalam majlis berkenaan.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Alijah Ismail, Pengarah JHEWA, Haslina Ismail, Pengerusi MPWS, Datuk Dr Tarsiah Tz Taman dan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar, Rosemary Ahping. — JABATAN PENERANGAN SABAH