KOTA KINABALU, SABAH – Dua petugas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut setelah motosikal yang dinaiki mereka merempuh lori treler dari arah belakang semalam.
Insiden 9 malam di Jalan Sabah Port, Sepanggar, membabitkan anggota berjurusan teknisyen.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah mendedahkan identiti mangsa sebagai Ahmad Faiz Mohd Hanif, 39, berpangkat Bintara Kanan, Teknisyen Elektrik Kuasa dan Senjata di SK TLDM Kota Kinabalu.
“Mangsa lain ialah Norasnizam Mohd Alui, 36, berpangkat Bintara Kanan, Teknisyen Marin Kuasa Gerak bagi Kapal Peronda Luar Pantai, KD Selangor…
“Kedua-dua mangsa didapati mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan (KKM),” katanya.
Tambahnya, tindakan pasukan Bomba adalah mengambil dan menyerahkan mangsa kepada pihak Polis untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan dijalankan di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain dan operasi ditamatkan pada jam 10.33 malam,” katanya.





