KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik inisiatif pemain industri di negeri, termasuk Syarikat Kim Teck Cheong Sdn Bhd yang komited membantu merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menyediakan pekerjaan kepada golongan miskin tegar di Sabah.
Menurutnya, beberapa siri libat urus akan diteruskan dengan pemain industri di Sabah untuk memberikan peluang pekerjaan kepada golongan miskin tegar dan menyumbang di negeri ini.
“Dalam hal ini, Syarikat Kim Teck Cheong Sdn Bhd dan Kumpulan BTC Berhad telah menyatakan komitmen kepada Kerajaan negeri dalam pelantikan anak-anak miskin tegar di syarikat masing- masing,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketik menjawab soalan Alias Sani (Sekong – WARISAN) berhubung langkah kerajaan untuk membawa Sabah keluar daripada kedudukan tercorot negeri miskin di Malaysia.
Baru-baru ini, dalam Program Jelajah Amal Berbuka Puasa, Ketua Pengarah Eksekutif Syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad Datuk Dexter Lau dipetik sebagai berkata bahawa ssyarikat KTC sangat memerlukan calon yang bersesuaian untuk mengisi beberapa kekosongan jawatan bagi meningkatkan produktiviti syarikatnya di masa depan.
Katanya KTC akan meneliti calon yang bersesuaian untuk ditawarkan peluang pekerjaan dalam tempoh terdekat.
Dexter berkata, KTC kini sudah mengenalpasti beberapa individu berkelayakan sekali gus mengutamakan kepada mereka berasal dari kawasan luar bandar, termasuk anak-anak miskin tegar untuk berkhidmat dengan syarikat berkenaan.