Thaipusam Pupuk Perpaduan, Toleransi Masyarakat Majmuk

Thaipusam Pupuk Perpaduan, Toleransi Masyarakat Majmuk

0
SHARE
Ewon
Ewon (tengah) mengabadikan kenangan semasa perayaan Thaipusam ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PENAMPANG, SABAH – Sambutan Hari Thaipusam dapat memupuk semangat perpaduan dan toleransi dalam kalangan masyarakat majmuk.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Datuk Ewon Benedick berkata kemajmukan tersebut menjadi kekuatan kepada negara dan ia perlu dipertahankan.

“Apa jua perayaan yang diraikan oleh masyarakat dalam negara yang aman dan makmur haruslah dipelihara, dilindungi dan dipertahankan.

“Pada hari ini, saya berpeluang menghadiri perayaan yang bersejarah bagi masyarakat India iaitu Thaipusam dan masyarakat Cina yakni upacara adat menitik mata singa bertempat di Fook Tet Kung Temple.

“Ini merupakan testimoni kepada komitmen saya menunjukkan rasa hormat yang tinggi dan besar kepada kemajmukan dan kepelbagaian kaum agama, budaya, bahasa dan adat resam di negara kita.

“Kemajmukan inilah yang membina dan menjadi kekuatan kepada negara kita dan saya akan pertahankan khasnya di negeri Sabah,” katanya semasa menghadiri Hari Thaipusam bertempat di Kuil Sri Subramaniar, Lok Kawi, pada Khamis.

Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk S. Karunanithy Y. Subbiah, Presiden Kuil Sri Subramaniar, Leftenan Vijaya Ragavanan Naranasamy, Naib Presiden Chandra Segar Soosaimany dan mantan Pengarah Hospital Tuaran, Datuk Dr. G Mohan A/L Gopal Naidoo. — JABATAN PENERANGAN SABAH