
RANAU, SABAH – Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Joachim berkata, Kabinet Negeri telah bersetuju agar jawatan semua pemegang adat dikekalkan.
“Kabinet telah memutuskan bahawa semua jawatan pemegang adat diteruskan kecuali mereka yang sakit dan tidak dapat bekerja lagi, atau terdapat masalah lain serta sekiranya terdapat permintaan mana-mana wakil rakyat di satu tempat untuk membuat penggantian.
“Pihak kementerian akan mempertimbangkan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata demikian pada Majlis Penyerahan Baju Pemegang Adat kepada semua ketua adat dalam DUN Kundasang di Dewan Kampung Kimolohing, di sini, semalam.
Selain ini, kerajaan negeri juga telah menaikkan elaun mereka bermula bulan September tahun lalu, tambahnya.
Kerana itu, beliau menyeru semua pemegang adat agar terus menyokong kerajaan semasa yang memerintah kerana mereka juga adalah sebahagian daripada jentera di peringkat akar umbi untuk membantu Kerajaan.
Beliau mengingatkan sebagai pemegang adat mereka harus menjalankan kewajipan dengan bertanggungjawab dan mengamankan suasana masyarakat setempat.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka (pemegang adat) yang mengkritik Kerajaan.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Dr Joachim, Yubidi Gompoyo; wakil Ketua Daerah, KAN Dualis Porodtong dan Pengerusi Penganjur Majlis, KAN Dominic Ghani.