Letupan Misteri Kembali Gegar Ipoh, Polis Siasat Kali Kedua Sejak Oktober Lalu

Letupan Misteri Kembali Gegar Ipoh, Polis Siasat Kali Kedua Sejak Oktober Lalu

0
SHARE

IPOH: Polis sekali lagi menjalankan siasatan berhubung bunyi letupan kuat disusuli gegaran yang mengejutkan penduduk sekitar Ipoh pagi ini, menjadikannya insiden kedua seumpama dilaporkan sejak Oktober tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata siasatan sedang dijalankan dan kenyataan rasmi hanya akan dikeluarkan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin sekiranya terdapat pengesahan lanjut mengenai kejadian tersebut.

Seorang penduduk Klebang Harmoni, Mohammad Danial Nordin, 36, berkata beliau terdengar bunyi seperti letupan dan merasai gegaran semasa berada di rumah.

Bunyinya sangat kuat, macam orang hempas pintu dengan kasar. Rumah turut bergegar. Memang pelik dan menakutkan,” katanya memetik laporan New Straits Times.

Netizen turut melaporkan gegaran sekitar jam 10.30 pagi di beberapa kawasan lain termasuk Chemor, Chepor dan Tanah Hitam.

Pada 21 Oktober tahun lalu, kejadian serupa turut dilaporkan di beberapa kawasan sekitar bandar Ipoh termasuk Tasek, Meru dan Sungai Siput, namun siasatan terdahulu oleh polis tidak menemui punca yang jelas.

Pada hari kejadian, polis mengesahkan tiada aktiviti latihan bahan letupan dijalankan oleh Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta pada, manakala Pejabat Tanah dan Galian turut memaklumkan tiada kerja letupan kuari direkodkan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebelum ini menyatakan bahawa bunyi letupan dan gegaran tersebut kekal sebagai misteri dan pihak berkuasa masih meneliti pelbagai kemungkinan.