KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan dua lelaki yang melepaskan tembakan ke arah kenderaan dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam awal pagi tadi diupah sindiket tertentu.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh termasuk kemungkinan suspek bertindak atas arahan atau upahan pihak tertentu.
“Kita tidak boleh menolak kemungkinan suspek diupah sindiket untuk melakukan perbuatan itu. Bagaimanapun, siasatan masih berjalan dan kita menyiasat dari semua aspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan motif awal kejadian dipercayai bertujuan menakut-nakutkan pegawai penguat kuasa susulan kejayaan pihak berkuasa, sama ada AKPS atau polis, dalam beberapa siri rampasan kebelakangan ini yang menimbulkan rasa tidak puas hati pihak tertentu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi itu, kenderaan jenis Proton X70 yang dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam dipercayai ditembak sebanyak dua das oleh suspek tidak dikenali ketika dalam perjalanan ke masjid.
Bagaimanapun, pegawai terbabit, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, dilaporkan terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis kini giat mengesan suspek serta mengenal pasti motif sebenar kejadian bagi memastikan keselamatan pegawai penguat kuasa terus terpelihara.






