Negara Asia Perketat Saringan Lapangan Terbang, Virus Nipah Maut Kembali Dikesan

Negara Asia Perketat Saringan Lapangan Terbang, Virus Nipah Maut Kembali Dikesan

0
SHARE

NEW DELHI: Pengesanan dua kes virus Nipah yang membawa kadar kematian tinggi di India mencetuskan kebimbangan serantau.

Beberapa negara Asia termasuk Thailand, Singapura, Hong Kong dan Malaysia memperketatkan saringan kesihatan di lapangan terbang bagi mengelakkan penularan, lapor Reuters.

Virus Nipah yang dibawa kelawar buah dan haiwan ternakan seperti babi boleh menyebabkan demam serta radang otak, dengan kadar kematian antara 40 hingga 75 peratus.

Jangkitan antara manusia boleh berlaku tetapi memerlukan hubungan rapat dan berpanjangan.

Dua kes itu melibatkan petugas kesihatan di negeri Bengal Barat, India, dengan seorang pesakit berada dalam keadaan kritikal.

Pihak berkuasa India memaklumkan 196 kontak telah dikesan dan semuanya disahkan negatif.

Singapura melaksanakan pemeriksaan suhu bagi penerbangan dari kawasan terjejas, manakala Hong Kong mengetatkan pemeriksaan kesihatan di pintu masuk.

Thailand menetapkan kawasan parkir khas pesawat dari zon berisiko serta mewajibkan pengisytiharan kesihatan penumpang.

Malaysia pula meningkatkan tahap kesiapsiagaan di pintu masuk antarabangsa, khususnya bagi pelancong dari negara berisiko.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengklasifikasikan Nipah sebagai patogen keutamaan kerana tiada vaksin atau rawatan khusus serta kebimbangan virus ini boleh bermutasi dan menjadi lebih mudah merebak.

Walaupun pihak berkuasa India menegaskan tiada wabak besar dan keadaan terkawal, langkah berjaga-jaga terus dipertingkat di rantau ini berikutan sifat virus yang jarang berlaku tetapi sangat berbahaya.