KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun mengingatkan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) supaya terus mengamalkan tadbir urus yang baik, memperkukuh penyelarasan antara agensi pelaksana serta memastikan setiap inisiatif memberi impak jelas dan berterusan kepada rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Sekretariat SMJ yang diketuai Ketua Pegawai Penyelaras, Datuk Rosmadi Datu Sulai, bersama Ketua Pegawai Operasi, Datuk Ramlee Kariah, di pejabatnya, pada Khamis.
Dalam pertemuan itu, Masidi diberi taklimat mengenai persiapan dan perkembangan pelaksanaan Hala Tuju SMJ 2.0 (2026–2030) yang dijadualkan dilancarkan pagi ini di Sabah International Convention Centre (SICC), termasuk usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau turut menegaskan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar lebih proaktif dan berintegriti, dengan memberi tumpuan kepada tadbir urus yang baik, kecekapan pengurusan serta pulangan yang menyokong pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Pada masa sama, Masidi menekankan kepentingan pemantauan rapi dan penilaian berterusan bagi memastikan semua program dilaksanakan mengikut perancangan serta mencapai sasaran ditetapkan selaras aspirasi Sabah Maju Jaya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menerima kunjungan hormat Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang diketuai Pengerusinya, Puan Saadiah Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Ts. Mohd. Yaakob Jaafar bagi membincangkan isu bekalan elektrik serta inisiatif penambahbaikan bagi menjamin bekalan yang stabil dan berterusan di Sabah.






