Pasca Pemergian Bung Moktar: Menilai Peluang UMNO dan Realiti Sokongan Warisan di...

Pasca Pemergian Bung Moktar: Menilai Peluang UMNO dan Realiti Sokongan Warisan di Lamag, Kinabatangan Apabila GRS Tidak Bertanding

0
SHARE
Analisis Borneo Merdeka Centre
Penganalisis: Baharuddin Palembang

KOTA KINABATANGAN – Pasca pemergian Datuk Seri Bung Moktar Radin, landskap politik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan memasuki fasa penstrukturan semula yang menuntut realisme politik baharu. Ketiadaan tokoh dominan tidak secara automatik mencipta gelombang sokongan kepada pembangkang, sebaliknya memperlihatkan bahawa pengundi di kawasan ini semakin rasional dan pragmatik, membuat pilihan berdasarkan keupayaan calon serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan di lapangan, bukan sentimen lama atau jenama parti semata-mata.

Dapatan Borneo Merdeka Centre (BMC) berdasarkan keputusan rasmi PRN Sabah ke-17 menunjukkan bahawa persaingan di Lamag kekal sengit dan bersifat individu. Daripada 13,859 pengundi berdaftar, seramai 10,121 orang keluar mengundi bersamaan kira-kira 73 peratus.

BN–UMNO mempertahankan kerusi dengan 3,908 undi dan majoriti amat tipis sebanyak 153 undi, satu petunjuk jelas bahawa kekuatan UMNO di Lamag masih wujud tetapi berada pada tahap yang memerlukan pengukuhan strategi.

Keputusan rasmi PRU-17 Sabah di DUN Lamag…(Sumber Foto: RTM)

Pencabar sebenar dalam persaingan tersebut bukan datang daripada Warisan, sebaliknya daripada calon Bebas, Mohd Ismail bin Haji Ayob atau MIHA, yang memperoleh 3,755 undi. Analisis BMC mendapati bahawa sebahagian besar undi MIHA sebenarnya adalah undi penyokong GRS yang beralih arah, susulan ketiadaan pencalonan rasmi beliau.

Hal ini dibuktikan apabila calon GRS hanya memperoleh 1,646 undi manakala Warisan sekadar 372 undi sehingga hilang deposit. Corak ini mengesahkan bahawa sokongan tersebut bukan penolakan terhadap kerajaan negeri, sebaliknya manifestasi pecah undi dalaman blok kerajaan.

Dalam konteks ini, prestasi MIHA tidak boleh ditafsir sebagai kelemahan GRS, sebaliknya mencerminkan kekuatan sebenar sokongan GRS di Lamag yang dizahirkan melalui saluran alternatif. Ini juga menjelaskan mengapa Warisan gagal menjadi penerima manfaat walaupun berlaku perpecahan undi, sekali gus menolak naratif bahawa pembangkang mendapat kelebihan daripada keadaan tersebut.

Analisis BMC menjadi lebih jelas apabila keputusan tiga DUN dalam Parlimen Kinabatangan iaitu Lamag, Kuamut dan Sukau yang dibandingkan secara menyeluruh.

Di DUN Kuamut, calon GRS memperoleh 4,980 undi dan menang dengan majoriti 457 undi, mengatasi UPKO dan Warisan. Keputusan ini membuktikan bahawa apabila calon GRS diketengahkan secara rasmi dan penyokong kerajaan bersatu, sokongan di peringkat akar umbi adalah kukuh dan berfungsi.

Keputusan rasmi PRU-17 Sabah di DUN Kuamut…(Sumber Foto: RTM Sabah)

Sementara itu, di DUN Sukau, BN–UMNO menang dengan 5,143 undi dan majoriti besar 1,234 undi, manakala calon GRS memperoleh 3,909 undi. Walaupun BN menang selesa, angka undi GRS yang tinggi hampir menyamai undi Miha di Lamag, sekali gus mengukuhkan dapatan bahawa GRS mempunyai tapak sokongan signifikan dan konsisten di Parlimen Kinabatangan, bukan sokongan kecil atau bersifat sementara. Warisan pula sekali lagi gagal muncul sebagai pencabar utama dengan hanya 1,605 undi.

Keputusan rasmi PRU-17 Sabah di DUN Sukau…(Sumber Foto: RTM Sabah)

Apabila ketiga-tiga DUN ini dianalisis secara bersepadu, Borneo Merdeka Centre berpandangan bahawa kekuatan BN di Parlimen Kinabatangan masih wujud dan berfungsi, namun kini sangat bergantung kepada keupayaan menyatukan undi kerajaan, khususnya undi GRS. Lamag memperlihatkan risiko pecah undi, Kuamut membuktikan kekuatan GRS apabila bersatu, manakala Sukau menunjukkan kelebihan BN yang stabil tetapi masih terdedah sekiranya undi kerajaan tidak diselaraskan.

Sekiranya MIHA tidak bertanding pada masa hadapan, BMC menjangkakan sebahagian besar undi GRS berpotensi kembali kepada calon kerajaan, namun kelebihan ini tidak bersifat automatik dan masih bergantung kepada kualiti calon serta pengurusan sentimen akar umbi. Sebaliknya, sekiranya MIHA kembali bertanding, risiko pecah undi kerajaan akan meningkat dan menjadikan persaingan lebih tidak menentu walaupun Warisan kekal lemah.

Kesimpulannya, dapatan Borneo Merdeka Centre (BMC) menunjukkan bahawa Parlimen Kinabatangan bukan lemah kerana kekuatan pembangkang, tetapi kerana cabaran penyelarasan dalaman blok kerajaan sendiri. Kemenangan BN di peringkat Parlimen hanya akan terjamin sekiranya undi UMNO dan GRS dapat disatukan di bawah calon yang diyakini rakyat.

Dalam realiti politik baharu ini, kegagalan mengurus pecah undi akan membawa risiko besar, manakala kejayaan menyatukan sokongan kerajaan akan mengekalkan Kinabatangan sebagai kubu strategik kerajaan negeri dan Persekutuan.