Kerajaan Sabah Amal Dasar Toleransi Sifar Terhadap Rasuah dan Salah Guna Kuasa...

Kerajaan Sabah Amal Dasar Toleransi Sifar Terhadap Rasuah dan Salah Guna Kuasa – Ketua Menteri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menegaskan pendirian tegas tidak berkompromi serta mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk rasuah, pelanggaran integriti dan penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri menyambut baik pandangan serta cadangan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri berhubung isu integriti, sambil menegaskan komitmen berterusan bagi memastikan tadbir urus yang telus dan berakauntabiliti.

Menurut beliau, antara langkah utama yang akan dilaksanakan ialah arahan supaya semua Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurus Besar Kumpulan dan Pengurus Besar Badan Berkanun Negeri serta GLC mengemukakan laporan prestasi bertulis setiap tiga bulan secara terus kepada Ketua Menteri mulai tahun hadapan.

Katanya, langkah itu bertujuan memantau kemajuan projek, kedudukan kewangan, keberkesanan perkhidmatan serta pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap agensi secara lebih berkesan.

Selain itu, kerajaan negeri turut menempatkan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai Penasihat Integriti kepada Ketua Menteri di Jabatan Ketua Menteri bagi memperkukuh pelaksanaan tadbir urus, integriti dan usaha antirasuah secara menyeluruh.

Beliau berkata, semua GLC negeri juga diarahkan menubuhkan Unit Integriti dan Governans Negeri Sabah (IGU) sebagai entiti bebas yang melaksanakan fungsi pengurusan aduan, pematuhan, tadbir urus dan integriti, dengan pemantauan berkala oleh Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah serta pelaporan kepada SPRM.

Tambahnya, program pengukuhan integriti khusus kepada peneraju GLC akan dilaksanakan sepanjang 2026 bagi memastikan amalan pentadbiran yang telus, berintegriti dan berakauntabiliti diterapkan sepenuhnya.

Mengulas dakwaan salah laku melibatkan sebuah syarikat berkepentingan kerajaan negeri, Hajiji menegaskan semua dakwaan masih dalam siasatan dan kerajaan tidak akan membuat sebarang keputusan yang boleh menjejaskan keyakinan awam, integriti institusi serta prinsip keadilan dan undang-undang.