Pengantin Teruskan Perkahwinan Dengan Pakaian Lengkap PPE

Pengantin Teruskan Perkahwinan Dengan Pakaian Lengkap PPE

0
SHARE

JAIPUR, INDIA – Tular di laman media sosial baru-baru ini foto dan video majlis perkahwinan sepasang pengantin di negara ini yang lengkap memakai sut pakaian perlindungan diri (PPE).

Menurut sumber, pasangan itu nekad meneruskan majlis berkenaan selepas pengantin wanita disahkan positif COVID-19 beberapa jam sebelum majlis berlangsung.

Memetik laporan New India Express, ahli keluarga dan paderi yang hadir juga dikehendaki memakai set lengkap PPE.

Perkara ini merupakan satu majlis perkahwinan pertama yang diadakan di Pusat Rawatan COVID-19 dengan pasangan hadir memakai PPE.

Pengantin perempuan menetap kampung Chhatarganj, Kelwara dilaporkan berkahwin dengan guru kerajaan dari Danta.

Ibunya sakit beberapa hari sebelum majlis berlangsung dan pengantin wanita itu kemudian menjalani ujian saringan sebelum disahkan positif COVID-19.

Keputusan ujian yang diperoleh beberapa jam sebelum majlis bermula membuatkan keluarga pengantin perempuan menjadi buntu kerana mengikut adat Hindu, perkahwinan tidak boleh ditangguhkan.

Oleh itu, mereka telah merayu kepada pihak berkuasa untuk tetap meneruskan majlis perkahwinan itu.

Selepas mempertimbangkan permintaan keluarga pasangan berkenaan, majlis perkahwinan itu diteruskan, tetapi dijalankan di Pusat Rawatan COVID-19 mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan dihadiri pegawai kerajaan sebagai pemantau.

Sejurus selesai majlis, pasangan itu dan ibu pengantin perempuan terus dimasukkan ke pusat rawatan COVID-19 dan sampel pengantin lelaki turut diambil bagi menjalani ujian saringan COVID-19.