KUALA LUMPUR – Sejak malam tadi, isu pemimpin UMNO dikatakan sedang merancang menggulingkan Kerajaan Malaysia sebelum akhir sesi sidang Parlimen mula tular semula di laman media sosial Facebook dan sebaran aplikasi WhatsApp.
Gerakan ini kononnya telah dilakukan oleh beberapa orang pemimpin UMNO yang terbabit dengan kes rasuah dengan kerjasama Dato’ Sri Anwar Ibrahim.
Umum mengetahui pemimpin UMNO yang sedang dibicarakan dengan kes rasuah adalah Dato’ Sri Najib Razak, Dato’ Sri Zahid Hamid Hamidi, Dato’ Ahmad Maslan, Dato’ Sri Bung Moktar dan Datin Sri Rosmah Mansor.
Memetik laporan portal berita BEBASnews, pada malam Khamis 10 Disember 2020, iaitu sehari selepas Persefahaman Politik BN-PN ditandatangani oleh TIGA (3) pimpinan parti utama UMNO, PAS dan BERSATU, Najib, Zahid dan Anwar telah berbincang untuk mengangkat Anwar sebagai PM Malaysia Ke-9.

Dikatakan turut hadir bersama di dalam perbincangan tersebut adalah seorang kerabat di Raja Pahang. Pertemuan pula diadakan rumah agam di Jalan U-Thant Kuala Lumpur.
Menurut portal itu lagi, sekiranya Kerajaan Gabungan BN, PN dan GRS tersebut berjaya ditumbangkan, Anwar Ibrahim akan dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia, manakala Zahid Hamidi pula Timbalan Perdana Menteri serta Najib bakal dilantik sebagai Menteri Mentor dan Ahli Parlimen Kimanis yang turut sama menandatangani SD tersebut pula bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia mewakili Sabah.


Yang lebih menarik kononnya apabila Anwar berjaya dipilih menjadi PM dan membentuk kerajaan Malaysia yang baharu kesemua kes-kes mahkamah berkaitan Najib, Zahid dan kes-kes melibatkan 1MDB dan pimpinan UMNO turut bakal dibatalkan.
Turut dibangkitkan oleh sebahagian netizen adakah kes rasuah membabitkan Lim Guan Eng dan isterinya termasuk Datin Sri Rosmah Mansor juga turut akan digugurkan sekiranya kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) dan UMNO berjaya ditubuhkan.
Dalam pada itu, ahli UMNO yang enggan namanya disebut pula berkata, tidak mustahil perancangan ini kembali diadakan oleh Najib, Zahid dan Anwar Ibrahim agar kes rasuah pimpinan-pimpinan UMNO termasuk isteri mereka digugurkan.

“Kami juga yakin DAP juga terpaksa akur dengan kerjasama ini memandangkan Lim Guan Eng juga mempunyai kes rasuah di Mahkamah…
“Kalau berita ini benar, nampak sangat seluruh ahli UMNO telah diperbodohkan oleh Zahid dan Najib malahan rakyat yang mula simpati terhadap perjuangan UMNO akan mula meninggalkan Parti Keramat ini.”
Dalam pada itu seolah-olah membenarkan konspirasi ini memetik kenyataan Setiausaha Agong Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa melalui laman sosial Facebook rasmi miliknya pula berkata ketika ini sedang wujud gerakan dalaman UMNO cuba untuk menggagalkan dasar ‘No DAP No Anwar’ oleh UMNO.

“Liciknya gerakan mereka sehingga sanggup meletakkan DAP di saf belakang agar mereka mudah memperdaya kelompok ‘No Dap No Anwar’.”
Annuar juga berkata, sepatutnya pada masa rakyat sedang berada dalam kesusahan sekarang, pemimpin sepatutnya menggembleng seluruh tenaga memperhebat agenda membela rakyat dan bukannya sibuk dengan gerakan bawah tanah untuk menebuk perahu kita sendiri.
“Janganlah mereka reka alasan untuk menanam kebencian dan menghalalkan tindakan menjatuhkan sesama sendiri. Lebih malang lagi jika cuba mengubah pendirian parti sehingga sanggup mengambil musuh yang nyata untuk menumbangkan kawan sebangsa seagama, Jangan matlamat menghalalkan cara.
“Annuar juga turut berkata jika UMNO berubah dengan percubaan mengutamakan individu, merosakkan penyatuan dan perpaduan sesama sendiri dan orang Melayu, apalagi menjatuhkan kuasa politik dan kerajaan pimpinan Melayu, UMNO bakal ditolak dan ditinggalkan oleh orang Melayu buat selama-lamanya.”

Sesetengah pihak juga turut bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Annuar Musa di mana gerakan untuk menghalalkan penyatuan parti UMNO,PKR, DAP dan Amanah juga sedang giat dijalankan, malahan wujud tuduhan kenyataan serangan berterusan ke atas Parti BERSATU oleh pimpinan tertinggi UMNO termasuk Datuk Nur Jazlan dan Lokman Adam telah membuktikan gerakan ini sememangnya sedang berjalan di dalam Parti UMNO.


