Nur Sharmayza Hanim Dinobat Ratu Serimpak 2024

Nur Sharmayza Hanim Dinobat Ratu Serimpak 2024

0
SHARE
Sarimpak
Para pemenang top six Ratu Serimpak 2024 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TUARAN, SABAH – Guru SM St Dominic Lahad Datu, Nur Sharmayza Hanim Samsuddin dinobatkan sebagai Ratu Serimpak sempena Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Negeri Sabah 2024.

Nur Sharmayza, 25, memenangi RM3,500, sijil penghargaan dan biasiswa pendidikan Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) bernilai RM19, 000 sehingga RM42,000 bergantung kursus dipilih.

Gadis yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menewaskan 15 peserta dari seluruh Sabah.

Hadiah disampaikan oleh Isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama di sini, hari ini.

Manakala, wakil Daerah Beluran, Lisa Abd. Latif, 22, pula meraih tempat kedua sekali gus membawa pulang RM 2,500 dan sijil penghargaan, diikuti Siti Yunisah Ruzaleh, 21 (Tuaran) di tempat ketiga dengan hadiah RM1,500 serta sijil penghargaan.

Sementara itu, Pengerusi Ahli Jawatankuasa Induk Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Datuk Japlin Akim berkata kesemua acara yang berlangsung dalam festival tersebut mendapat sambutan menggalakkan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menghadiri festival empat hari ini.

“Pada awalnya, kita menyasarkan tidak kurang daripada 10,000 orang pengunjung dan sehingga hari ini kita telah melepasi sasaran tersebut dan yang datang itu bukan sahaja daripada daerah Tuaran tetapi juga dari seluruh pelusuk Sabah datang berkampung di sini.

“Ini merupakan tahun kedua penganjuran dan kita berharap dapat melaksanakan lagi pada masa hadapan dengan penambahbaikan setiap tahun,” katanya semasa ditemui selepas acara perasmian.

Selain Ratu Serimpak, festival kali kedua tersebut turut menganjurkan pertandingan Betitik, Bintang Soromas, Bengkel Bermain Muzik Tradisi, sukan rakyat dan Bengkel Tarian Tradisi Etnik Bajausama.  — JABATAN PENERANGAN SABAH