Remaja Afghanistan Terpaksa Menyamar Sebagai Lelaki Demi Sara Keluarga, Kini Ditahan Taliban

Remaja Afghanistan Terpaksa Menyamar Sebagai Lelaki Demi Sara Keluarga, Kini Ditahan Taliban

0
SHARE

HELMAND: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dikenali sebagai Nooria dilaporkan ditahan oleh kumpulan Taliban selepas videonya yang tular menunjukkan dia menyamar sebagai lelaki untuk bekerja demi menyara keluarga.

Dalam rakaman tersebut, Nooria memaklumkan berasal dari wilayah Ghor dan terpaksa memakai pakaian lelaki kerana kemiskinan tegar selepas kematian bapanya.

Katanya, dia bekerja di sebuah kafe di wilayah Helmand bagi menampung kehidupan keluarga memandangkan wanita dan kanak-kanak perempuan tidak dibenarkan bekerja secara bebas di Afghanistan.

Saya tiada sesiapa selain Allah. Ini kerana terpaksa. Tiada siapa lakukan ini dengan rela hati. Bapa saya sudah meninggal dunia,” katanya dalam video berkenaan.

Rakaman itu turut memaparkan seorang anggota Taliban menyoalnya.

Ketika ditanya sama ada dia dipukul selepas ditahan, Nooria memberi bayangan bahawa jika ia berlaku, mungkin disebabkan kejahilan, namun jelas dia berdepan tekanan dan ketakutan.

Nooria kini dilaporkan berada dalam tahanan pihak Taliban.

Kes berkenaan mencetuskan reaksi simpati dalam kalangan masyarakat antarabangsa yang mempersoalkan nasib kanak-kanak perempuan di negara itu yang dinafikan hak untuk bekerja dan mendapatkan pendidikan.