Farahdhiya Kembali Dengan ‘Eh Ah! Raya’, Warnai Aidilfitri 2026

Farahdhiya Kembali Dengan ‘Eh Ah! Raya’, Warnai Aidilfitri 2026

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon versatil, Farahdhiya kembali memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini dengan single raya terbaharu berjudul Eh Ah! Raya, sebuah lagu ceria dan rancak yang menjanjikan kemeriahan suasana Syawal bersama keluarga dan insan tersayang.

Menggabungkan elemen tradisional dan moden, lagu berkenaan tampil dengan susunan muzik segar yang mengangkat bunyi klasik seperti rebana, disulami sentuhan pop kontemporari yang dekat dengan cita rasa pendengar masa kini.

Lagu ini merupakan hasil kolaborasi kreatif antara Farahdhiya dan komposer prolifik, Pown Hasril.

Eh Ah! Raya” digubah oleh Farahdhiya bersama Pown Hasril, manakala liriknya ditulis sepenuhnya oleh Farahdhiya sendiri. Lagu tersebut diterbit dan disusun oleh Pown Hasril dengan sentuhan istimewa rebana oleh Ajay Amai serta petikan gitar oleh Pown Hasril.

Vokal latar pula disumbangkan oleh Glowrush dan Ajay Amai, manakala kemeriahan suasana raya diserikan dengan suara kanak-kanak daripada Nawal Zayani dan Nawal Ariana. Proses adunan dan mastering disempurnakan oleh Jack Jafni bagi memastikan kualiti audio terbaik.

Menurut Farahdhiya, lagu berkenaan lahir daripada rasa rindu terhadap kemeriahan Aidilfitri yang penuh warna-warni dan gelak tawa.

“Saya memang sudah lama menyimpan hasrat untuk menghasilkan lagu raya sendiri yang benar-benar mencerminkan personaliti saya iaitu ceria, sedikit ‘playful’ dan penuh semangat kekeluargaan. Lagu ini menggambarkan suasana ketika semua orang sibuk membuat persiapan, anak-anak berlari riang dan keluarga berkumpul tanpa mengira usia,” katanya.

Beliau berharap lagu tersebut dapat menjadi runut bunyi wajib setiap kali menjelang Syawal.

“Saya harap bila orang dengar ‘Eh Ah! Raya’, mereka terus rasa nak balik kampung, terbayang juadah atas meja dan rasa teruja untuk menyambut raya bersama insan tersayang. Raya bukan sekadar tentang pakaian atau kuih-muih, tetapi tentang kebersamaan dan kemaafan. Itu yang saya cuba sampaikan melalui lagu ini,” ujarnya.

Dengan tempo rancak serta korus yang mudah diingati, “Eh Ah! Raya” diyakini mampu menjadi antara lagu pilihan musim perayaan tahun ini, bukan sahaja untuk diputarkan di radio dan platform digital, malah sesuai mengiringi pelbagai kempen, acara serta kandungan media sosial sepanjang Syawal.

Single terbitan Seventeen Eleven Muzik itu kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital utama bermula 25 Februari 2026. Muzik video rasmi yang menampilkan konsep penuh warna dan elemen tradisi raya turut dilancarkan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Dengan pelancaran karya terbaharu ini, Farahdhiya sekali lagi membuktikan keupayaannya untuk kekal relevan dan kreatif dalam industri muzik tempatan, sambil menghadiahkan sebuah lagu yang mampu menyatukan generasi dalam satu irama — “Eh Ah! Raya”.