AirAsia Lancar Promosi Sehingga 99 Peratus Bagi Semua Penerbangan

AirAsia Lancar Promosi Sehingga 99 Peratus Bagi Semua Penerbangan

0
SHARE

SEPANG: AirAsia melancarkan antara promosi terbesarnya tahun ini dengan menawarkan diskaun sehingga 99 peratus bagi semua tempat duduk merentasi rangkaian penerbangannya.

Promosi tersebut berlangsung mulai 23 Februari hingga 1 Mac 2026, melibatkan semua laluan AirAsia dan AirAsia X dengan kod penerbangan AK dan D7. Tempoh perjalanan pula ditetapkan antara 1 Jun 2026 hingga 27 Mac 2027.

Menurut kenyataan syarikat penerbangan itu, tawaran berkenaan memberi peluang kepada para penumpang merancang percutian awal atau perjalanan saat akhir dengan tambang lebih berpatutan melalui laman web airasia.com atau aplikasi AirAsia MOVE.

Antara destinasi yang ditawarkan termasuk Trivandrum, Changsha, Osaka dan Sydney, selain destinasi baharu AirAsia X seperti Tashkent, Istanbul, Bahrain dan London.

Bagi penggemar percutian pantai, destinasi seperti Labuan, Nha Trang dan Krabi turut tersenarai dalam promosi tersebut.

Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati potongan tambahan 10 peratus bagi tempahan Value Pack untuk penerbangan AirAsia, yang merangkumi hidangan, insurans perjalanan serta pemilihan tempat duduk, tertakluk kepada terma dan syarat.

AirAsia, yang telah beroperasi selama 25 tahun, memaklumkan bahawa syarikat itu telah menerbangkan hampir satu bilion penumpang dan komited untuk terus menawarkan perjalanan tambang rendah yang mampu milik kepada orang ramai.

Terma dan syarat adalah tertakluk kepada ketetapan syarikat, manakala tempoh perjalanan bagi destinasi Bahrain dan London bermula 26 Jun 2026 hingga 27 Mac 2027.