Semangat Kekitaan, Bekerja Dalam Satu Pasukan Kunci Kejayaan Sesebuah Jabatan – Jahid

Semangat Kekitaan, Bekerja Dalam Satu Pasukan Kunci Kejayaan Sesebuah Jabatan – Jahid

0
SHARE

TUARAN, SABAH – Semangat kekitaan dan bekerja dalam satu pasukan merupakan kunci kejayaan sesebuah jabatan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, dengan adanya semangat kekitaan, prestasi kerja akan turut meningkat, sekaligus membangunkan komitmen terhadap satu sama lain dalam mencapai matlamat bersama.

Beliau berkata demikian dalam ucapan singkatnya pada program Gimik Pelancaran ‘Hike And Ride’ Sempena Hari Guru Peringkat Daerah Tuaran di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran, sini, kelmarin (Rabu).

Jahid membuat gimik pelancaran ‘Hike And Ride’ Sempena Hari Guru Peringkat Daerah Tuaran di luar perkarangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran…

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran, Hajah Wanihim Othman, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Perancangan), Rozalind Joannes, Timbalan PPD (Sektor Pembangunan Murid), Mohd Hanim Bin Mohd Goss, dan Timbalan PPD (Sektor Pengurusan), Jamdin Bin Jeman.

Katanya, semangat saling bekerjasama seperti itu sudah pasti akan membawa kepada hasil kerja yang lebih baik.

JAHID Ketika mengisi ruang buku pelawat di pejabat Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran, Hajah Wanihim Othman…

Justeru, katanya, tidak hairanlah banyak kejayaan di pelbagai peringkat yang telah berjaya diraih oleh PPD Tuaran selama ini, yang mana boleh dijadikan contoh kepada jabatan yang lain.

“Kejayaan kita juga sebenarnya bergantung cara kita saling berkomunikasi, dan akhirnya dapat mengendalikan segala tugasan bersama-sama…

“Bahkan, individu yang berprestasi tinggi juga tidak mampu bersaing dengan mereka yang mengutamakan kerja secara kumpulan,” katanya.

Bercakap mengenai program tersebut pula, katanya, aktiviti berbasikal kini seolah-olah telah menjadi satu ‘penyakit’, tetapi dari sudut yang positif, sebagai aktiviti sampingan untuk kesihatan.

JAHID Menunggang salah satu basikal yang digunakan peserta sebelum membuat gimik pelancaran…

“Tahniah kepada PPD Tuaran menerusi kelab dan persatuan yang terlibat kerana walaupun jadual mereka ketat tapi masih mampu membuat program sebegini yang memperlihatkan semangat kekitaan mereka yang begitu kuat,” ujar beliau.

Terdahulu, Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran, Hajah Wanihim Othman, berkata, program tersebut dianjurkan oleh tiga persatuan dalam jabatan tersebut, iaitu Persatuan Sukan Dan Kebudayaan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Daerah Tuaran, Kelab Staf PPD Tuaran dan Persatuan Wanita Jabatan Pendidikan Daerah Tuaran (Pewanis).

Sepanjang program, Jahid turut mengambil kesempatan menunggang beberapa jenis basikal yang digunakan oleh para peserta program, dan dibawa melawat ke sekitar bangunan PPD Tuaran.