Selepas Sabah, Kedengaran Ahli PKR Keluar Parti Di Sarawak

Selepas Sabah, Kedengaran Ahli PKR Keluar Parti Di Sarawak

0
SHARE

SARATOK, SARAWAK – Desas-desus kegoyahan yang berlaku pada Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin hangat diperkatakan apabila hampir 8,000 ahli parti itu dari seluruh daerah Sabah mengumumkan untuk keluar parti berkuat kuasa 19 Jun baru-baru ini.

Kumpulan besar yang keluar parti ini dikatakan turut membabitkan mereka yang memegang jawatan tertinggi dalam parti termasuklah timbalan dan naib ketua PKR cabang, setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan ahli jawatan kuasa cabang daerah.

Terbaharu, seramai 25 ahli jawatankuasa (AJK) PKR bahagian Saratok, Sarawak mengeluarkan kenyataan mereka ingin meletak jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Pengumuman keluar parti itu diketuai pemangku ketua PKR bahagian, Barang @ William Usup diikuti 3 naib ketua, setiausaha, bendahari, ketua Pemuda, ketua Wanita dan 16 AJK.

Kumpulan itu secara berterus terang berkata, mereka adalah penyokong setia ahli Parlimen Saratok, Ali Biju yang sebelum ini dipecat oleh PKR susulan tindakannya bersama-sama ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali dan ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dalam apa yang dinamakan ‘Langkah Sheraton’.

“Sokongan kami selama ini terhadap Ali Biju adalah atas kapasiti peribadi beliau dan bukannya parti. Tiada siapa dapat menafikan bahawa kuatnya PKR di Saratok bergantung kepada kekuatan dan kepimpinan Ali Biju dan bukannya parti semata-mata,” katanya.

Mereka percaya pelantikan Ali Biju sebagai timbalan menteri tenaga dan sumber asli di bawah kerajaan Perikatan Nasional membawa lebih banyak pembangunan di kawasan Parlimen Saratok.

“Kami dengan ini ingin menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bagi kepada beliau untuk mempertahankan DUN Krian dan Parlimen Saratok sekiranya pilihan raya umum diadakan pada bila-bila masa,” tambahnya.