KOTA KINABALU, SABAH – Tindakan memukul majikan kerana gaji yang lambat bukan penyelesaian kepada masalah kata Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Phoong Jin Zhe.
Beliau mengulas kejadian berlaku di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) pada tengah hari Jumaat, kelmarin, yang telah pun tular di media sosial.
Video tersebut menunjukkan sekumpulan pekerja menyerang tiga majikan warganegara Korea di Pejabat Shinsung E&G dalam tapak projek SK Nexilis.
Difahamkan, pekerja naik berang apabila pembayaran gaji oleh Shinsung E&G ditunda dari 5 April 2023 ke 18 April 2023.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan manakala laporan polis telah dibuat dan siasatan masih diteruskan.
SK Nexilis sedang membina sebuah kilang pengeluaran kerajang tembaga di KKIP dan Shinsung E&G merupakan salah satu sub-kontraktor di bawah Hyundai Engineering manakala Hyundai Engineering adalah kontraktor utama projek SK Nexilis.
“Adalah dipercayai bahawa disebabkan pembayaran gaji yang ditangguhkan oleh sub-kontraktor, pekerja berasa sangat kecewa dan kemudian menjadi agresif apabila menuntut bayaran segera.
“Serangan secara berkumpulan ini sebuah insiden yang malang dan tidak seharusnya berlaku,” kata Phoong yang juga Pengerusi Kumpulan KKIP.
Katanya, beliau sedang berada di China
untuk lawatan rasmi ketika menerima berita itu.
“Selepas berhubung secara peribadi dengan pelabur, SK Nexilis dan kontraktor utama Hyundai Engineering, mereka telah memberi jaminan bahawa pembayaran gaji akan diselesaikan secepat mungkin pada 17 atau 18 April 2023 kepada pekerja yang terjejas.
“Ketua Pegawai Eksekutif KKIP, Lawrence G Kimkuan akan mengadakan pertemuan dengan SK Nexilis dan pihak berkaitan tidak lama lagi.
“Saya telah menggesa semua pihak yang terlibat untuk menyelesaikan pertikaian gaji dengan secara pantas dan aman bagi memastikan semua orang dapat menikmati Hari Raya yang harmoni pada hujung minggu akan datang,” katanya dalam sebuah kenyataan.





