CSM, JPDP Diminta Jalankan Siasatan Dakwaan Kebocoran Maklumat 13 juta Rakyat Malaysia

CSM, JPDP Diminta Jalankan Siasatan Dakwaan Kebocoran Maklumat 13 juta Rakyat Malaysia

0
SHARE
Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi Dan Digital, Fahmi Fadzil (Sumber Foto: Laman media sosial Rasmi Menteri Komunikasi Dan Digital)

KUALA LUMPUR – Cybersecurity Malaysia (CSM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) diminta untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan kebocoran data maklumat membabitkan 13 juta rakyat Malaysia yang tersebar di laman media sosial awal, pagi tadi.

Memetik sumber Bernama, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata pihaknya menyifatkan kebocoran data terbabit adalah serius berikutan ia melibatkan jumlah maklumat yang banyak.

“Saya akan minta CSM, JPDP siasat apakah benar berlaku kebocoran data membabitkan pihak-pihak berkenaan, serta mengambil tindakan berdasarkan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu pautan yang dimuatnaik dalam laman media sosial rasmi Facebook, hari ini.

Dalam laman media sosial Facebook, Fahmi turut memuat naik satu pautan pengguna akaun Facebook dengan nama Pendakwah Teknologi yang mendakwa hampir 13 juta maklumat pengguna daripada Maybank, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Astro telah bocor.

Berdasarkan hantaran terbabit, pada 25 Disember 2022 kira-kira 7.56 malam, sebuah laman web telah menyenaraikan 3.5 juta maklumat pengguna Astro, 1.8 juta pengguna Maybank dan 7.2 juta pengguna SPR.

Maklumat yang dibocorkan didakwa membabitkan pelbagai butiran peribadi seperti nama pengguna, nama penuh pengguna, tarikh lahir, alamat serta nombor kad pengenalan.