PENAMPANG: Kontraktor tempatan perlu memperkukuh keupayaan teknikal dan kemahiran bagi merebut pelbagai peluang kontrak serta pekerjaan bernilai tinggi yang tersedia dalam industri minyak dan gas (O&G) di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sektor berkenaan mempunyai potensi besar dalam menyediakan peluang kepada pemain industri tempatan.
Menurutnya, terdapat banyak peluang kontrak yang ditawarkan syarikat minyak dan gas antarabangsa serta tempatan yang beroperasi di Sabah, namun kontraktor tempatan perlu memastikan mereka mempunyai keupayaan untuk memenuhi keperluan industri.
“Kontraktor tempatan perlu melengkapkan diri dari segi teknikal, meningkatkan kemahiran dan keupayaan supaya mampu bersaing serta mendapatkan projek dalam industri minyak dan gas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Sabah Kali Ke-27 di Majulan Hotel, di sini, pada Selasa.
Masidi berkata, peningkatan keupayaan kontraktor tempatan penting bagi memastikan lebih banyak manfaat daripada perkembangan industri O&G dapat dinikmati pemain industri tempatan.
Pada masa sama, katanya, penyertaan lebih besar kontraktor tempatan dalam industri berkenaan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.






