HUJAN LEBAT DI SABAH SEOLAH MERESTUI PELANTIKAN ISMAIL SABRI SEBAGAI PERDANA MENTERI...

HUJAN LEBAT DI SABAH SEOLAH MERESTUI PELANTIKAN ISMAIL SABRI SEBAGAI PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-9

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah mengalukan-alukan kepimpinan Dato’ Seri Seri Ismail Sabri Yaakob yang baru mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan pada jam 2.30 petang, hari ini (21 Ogos).

Beliau yang tampil sebagai wajah bersih dari UMNO bagi terus membangunkan negara sejajar dengan aspirasi Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Berkat hujan lebat yang dirasai di beberapa daerah di negeri bawah bayu ini seolah-olah merestui pengemudian beliau dan impian bekas Perdana Menteri bahawa negara bebas dari pemimpin tercemar dengan pelbagai kontroversi negatif.

Pelantikan beliau dapat dilihat sebagai langkah bagi terus memulihkan negara berikutan pengakhiran kepada kemelut politik sewaktu negara terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Ismail sebagai Perdana Menteri juga menjadi kesinambungan pendahulunya, yang meletak kebajikan serta kesatuan rakyat dalam usaha keluar bersama dari cengkaman wabak melalui rangka Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pelan Pemulihan Negara…

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor dalam satu kenyataan semalam berkata Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong penuh pelantikan Ismail Sabri.

“Saya berharap hubungan negeri-persekutuan ini akan membuahkan hasil, bukan hanya untuk mempercepatkan usaha membangunkan negeri ini tetapi juga yang antara lain mengambil kira hak-hak Sabah,” katanya.

Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor…

Manakala Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Ismail mengetuai kerajaan Pusat berdasarkan pengalaman luasnya dalam pentadbiran kerajaan.

“Kita juga yakin pelantikan Ismail Sabri dapat menstabilkan semula politik negara agar tumpuan dapat diberikan kepada usaha yang menjurus kepada kesihatan, pemulihan ekonomi dan pembangunan,” kata Bung.

Bung bersama Ismail pada perhimpunan Agung UMNO Bulan Mac lepas…

Rekod bidang tugas Ismail menunjukkan penerajuannya dalam pelbagai kementerian sebelum ini, antaranya Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan yang terkini Kementerian Keselamatan.

Ismail, 61, merupakan seorang bekas peguam yang telah memegang kerusi parlimen Bera sejak tahun 2004 dengan jurang majoriti tinggi dalam setiap pilihan raya yang diadakan.

Pada masa yang sama beliau juga pemegang jawatan Timbalan Perdana Menteri yang tersingkat dalam sejarah negara ini iaitu selama hanya 40 hari.

Kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri pada 7 Julai lalu berhubung pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika era pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional (PN)…

Dilahirkan di Pahang, Naib Presiden UMNO yang mula aktif dalam politik pada tahun 1987 itu sudah bercita-cita tinggi ingin menjadi Perdana Menteri sehingga impian menjadi realiti pada hari ini.

Semasa menjadi Menteri Keselamatan beliau prihatin terhadap ratapan rakyat terutamanya dari peniaga kecil dan pasangan jarak jauh yang membawa kepada kelonggaran prosedur operasi standard (SOP).

Ringkasan biodata Perdana Menteri Malaysia Ke-9, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob…(Sumber Foto: Bernama)

Sepanjang tempoh memegang jawatan tersebut beliau juga kerap menekankan isu pematuhan SOP dalam sektor perkilangan yang ditentukan menjadi penyumbang tertinggi kluster tempat kerja.

Dikenali sebagai seorang ahli politik yang mesra rakyat, beliau turut mendapat kehormatan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa memikul tugas Menteri Pertahanan.

Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob ketika memegang jawatan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) semasa era kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuat lawatan ke salah satu stesen vaksin pandu lalu (drive-thru) di Kem Lokawi, Sabah…

Pendekatan membina Hospital Medan dan menyediakan suntikan vaksin secara pandu lalu bagi warga ATM menjadikan golongan terbabit antara yang tercepat divaksin berikutan keutamaan kerajaan menjaga kedaulatan negara dikala rebah akibat wabak COVID-19.

Hal itu turut membantu meringankan beban kerja petugas Kementerian Kesihatan. Pada masa yang sama beliau juga sentiasa memberikan suntikan semangat kepada semua petugas barisan hadapan (frontliners) tidak kira pada sekatan jalan raya atau di pusat pemberian vaksin.