Rakyat Diseru Berjimat Hadapi Cabaran Ekonomi Global – Mustapha

Rakyat Diseru Berjimat Hadapi Cabaran Ekonomi Global – Mustapha

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud menyeru rakyat supaya mengamalkan sikap berjimat cermat dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa susulan ketidaktentuan global akibat konflik di beberapa negara.

Beliau berkata, krisis melibatkan negara-negara teluk termasuk Iran, Amerika Syarikat dan Israel berpotensi memberi kesan kepada ekonomi, namun kerajaan komited memastikan rakyat tidak terbeban.

“Kita harap keadaan akan semakin baik supaya kita tidak mendapat kesan daripada krisis peperangan tersebut. Pada masa sama, Kerajaan MADANI akan cuba memastikan keperluan asas mencukupi dan mengekalkan harga terutama petrol dan diesel, khususnya di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program Sumbangan Pembelian Baju Raya kepada murid-murid kategori asnaf di Jakel Alam Mesra, hari ini.

Menurut Mustapha, keadaan ekonomi ketika ini masih terkawal dan belum berada pada tahap kritikal, namun langkah berjimat cermat perlu dijadikan amalan berterusan.

“Belum lagi kritikal, cuma kita diminta untuk berjimat cermat sebab kita tidak tahu berapa lama perang ini akan berakhir. Jika berlarutan, di situlah kita akan berdepan cabaran ekonomi,” katanya.

Mengulas isu pembelian panik, beliau memberi jaminan bahawa bekalan makanan asas termasuk beras adalah mencukupi dan orang ramai tidak perlu bimbang.

“Bekalan kita masih mencukupi. Datuk Jamawi juga sudah beri komitmen bahawa beras kita cukup. Jadi kita harap orang ramai jangan panik, keadaan masih terkawal,” katanya.

Sehubungan itu, Mustapha mengingatkan orang ramai agar merancang perbelanjaan sempena Aidilfitri secara sederhana tanpa pembaziran.

“Kalau kita mahu berhari raya, buatlah secara berskala kecil dan rancang perbelanjaan. Fokus kepada yang perlu sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kementerian dan agensi kerajaan turut diarahkan untuk tidak mengadakan sambutan Hari Raya secara besar-besaran sebagai tanda solidariti serta mesej berjimat kepada rakyat.

“Kalau pun ada, ia berskala kecil. Ini untuk menyampaikan mesej bahawa kita perlu berjimat. Kita harap rakyat memahami langkah ini,” katanya.