BN, PH Dijangka Berunding di Peringkat Sabah Susulan Persefahaman

BN, PH Dijangka Berunding di Peringkat Sabah Susulan Persefahaman

0
SHARE

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) secara rasmi bersetuju untuk bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Ianya sekali gus membuka ruang rundingan lanjut antara kepimpinan kedua-dua blok politik di peringkat negeri dalam menentukan bentuk kerjasama, termasuk pengagihan kerusi dan strategi bersama.

Kesepakatan itu dicapai menerusi Mesyuarat Kepimpinan Tertinggi antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis semalam.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, semua perincian kerjasama akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi nasional, manakala rundingan dengan parti-parti lain akan diuruskan oleh pimpinan negeri.

Susulan itu, UMNO dan BN Sabah menyatakan kesediaan untuk melangkah seiring bersama PH sebagai rakan strategik dalam menghadapi PRN Sabah.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan itu mencerminkan kematangan politik demi masa depan negeri dan rakyat.

“Kita memilih untuk berganding bahu bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi untuk membina Sabah yang lebih baik dan terurus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa rundingan di peringkat negeri akan dilaksanakan dengan teliti dan penuh hormat terhadap proses muafakat yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan pusat.

“BN Sabah akan menggerakkan seluruh jentera dengan 100 peratus fokus, disiplin dan keikhlasan. Kita mahu menang dengan maruah dan mandat rakyat yang tulen,” tambahnya.

Dengan perkembangan ini, rundingan antara BN dan PH Sabah dijangka berlangsung dalam masa terdekat untuk memuktamadkan bentuk kerjasama menjelang PRN17.