KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menyifatkan keputusan kepimpinan tertinggi PH dan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sebagai satu langkah rasional demi memastikan kestabilan politik dan masa depan rakyat negeri ini terus terpelihara.
Dalam satu kenyataan bersama, pimpinan utama PH Sabah yang terdiri daripada Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick, Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe, Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud dan Pengerusi AMANAH Sabah Tuan Lahirul Latigu, menegaskan bahawa kerjasama itu selari dengan semangat membangunkan Persekutuan Malaysia secara inklusif.
“Ianya rasional untuk kedua-dua gabungan ini bekerjasama dalam pilihan raya, termasuk terbuka untuk perbincangan dengan parti-parti lain yang mendukung perpaduan dan kerjasama dalam membangunkan Persekutuan Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Mereka yakin kestabilan politik di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta hubungan harmoni antara kedua-dua entiti tersebut perlu dikekalkan dan diperkasakan demi memastikan aspirasi penubuhan Malaysia dan masa depan rakyat Sabah dapat direalisasikan.
“Gabungan ini juga menzahirkan keterbukaan untuk memupuk perpaduan dan kerjasama dengan parti-parti politik lain, selagi mana hala tuju kerjasama tersebut berpandukan kepada dasar-dasar yang mengutamakan kepentingan rakyat dan pembangunan jangka panjang negeri Sabah,” katanya.
Kenyataan ini menyusuli pengumuman rasmi oleh Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini yang menyatakan bahawa kerjasama antara BN dan PH akan diperincikan oleh kepimpinan negeri dan dimuktamadkan oleh kepimpinan pusat.
UMNO dan BN Sabah manakala menyatakan kesediaan untuk melangkah seiring bersama PH sebagai rakan strategik dalam menghadapi PRN Sabah.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan itu mencerminkan kematangan politik demi masa depan negeri dan rakyat.
“Kita memilih untuk berganding bahu bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi untuk membina Sabah yang lebih baik dan terurus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa rundingan di peringkat negeri akan dilaksanakan dengan teliti dan penuh hormat terhadap proses muafakat yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan pusat.
“BN Sabah akan menggerakkan seluruh jentera dengan 100 peratus fokus, disiplin dan keikhlasan. Kita mahu menang dengan maruah dan mandat rakyat yang tulen,” tambahnya.