PENAMPANG: Polis daerah ini berjaya menumpaskan satu kegiatan sabung ayam yang dipercayai turut melibatkan unsur perjudian dan penderaan haiwan dalam serbuan di sebuah kawasan bebas di Kampung Puun Tunoh, semalam.
Serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu dijalankan sekitar jam 5 petang susulan maklumat awam.
Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, tiga lelaki warga asing berumur antara 48 hingga 55 tahun ditahan dalam operasi berkenaan, manakala beberapa individu lain berjaya melarikan diri.
“Polis turut merampas empat ekor ayam hidup, dua ekor ayam mati, dua unit sangkar ayam dan wang tunai berjumlah RM604 dipercayai hasil aktiviti perjudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan.
“Kegiatan sabung ayam ini bukan sahaja melanggar undang-undang berkaitan perjudian, malah jelas merupakan satu bentuk penderaan haiwan yang tidak berperikemanusiaan.
“Kami ingin mengingatkan orang awam bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah dan akan terus komited menjalankan operasi berterusan bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan komuniti terpelihara,” tegas beliau.
Supt. Sammy turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis bagi membanteras kegiatan yang menggugat keselamatan awam.