SERDANG, SELANGOR – Malaysia dijangka akan mengeluarkan bawang merah tempatan dalam skala besar-besaran pada 2023 bagi mengurangkan kebergantungan import sepenuhnya.
Kebergantungan bawang merah akan dapat dikurangkan sekitar 30 peratus hingga 40 peratus, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (Mafi) Datuk Haslina Abdul Hamid.
Menurutnya, projek perintis ladang bawang sudah dimulakan di tanah milik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).
“Bermula dengan projek penanaman bawang di kawasan tanah Mardi seluas sehektar di Bachok, Kelantan.
“Insya-Allah jika perkara ini berlaku dengan baik, kita akan membuat penuaian yang pertama pada September akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media khas Sekuriti Makanan Negara dan tanaman bawang merah di Laman Direktorat, Ibu Pejabat Mardi Serdang, hari ini.
Menurut Haslina, lima variati bawang yang sesuai dengan agroiklim Malaysia dan tahan daripada serangan perosak serta penyakit sudah dikenalpasti untuk projek penanaman bawang itu.
“Malaysia mengimport sepenuhnya bawang dan tahun lalu sebanyak 484,867 metrik tan bernilai RM902.5 juta diimport untuk memenuhi permintaan pengguna…
“Pada 2021, purata penggunaan per kapita tahunan bawang di Malaysia adalah 17 kilogram per tahun dan nilai purata penggunaan adalah 1.4 kilogram per bulan.
“Harga bawang yang tidak stabil dan kos import tinggi menyebabkan bebanan kepada pengguna Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, bawang merah tempatan boleh dilaksanakan tiga musim penanaman setahun.
Mengikut kajian, katanya, sehektar keluasan tanah boleh ditanam sehingga 220,000 pokok bawang dan produktiviti sehektar boleh meningkat hingga sembilan metrik tan.
“Insya-Allah bawang tempatan yang kita hasilkan boleh dijual sekitar RM6 lebih sekilogram di pasaran,” katanya.